Isnin, 26 Disember 2011

Kenduri tahlil...adakah salah?


Kenduri kematian atau kenduri tahlil bukanlah sesuatu yang asing dalam masyarakat melayu sejak zaman dahulu lagi. Lazimnya kenduri ini diadakan selepas berlaku kematian mana mana ahli keluarga.Oleh kerana kenduri tahlil ini merupakan sesuatu yang seolah olah menjadi kemestian diadakan apabila ada kematian,ianya menjadi satu fenomena yang pelik jika sesebuah keluarga itu tidak mengadakan kenduri tahlil jika ada berlaku kematian di kalangan keluarga mereka.Malah masyarakat akan beranggapan keluarga berkenaan terlalu kedekut atau tidak memahami ajaran agama islam untuk menyampaikan doa dan pahala kepada simati.

Biasanya di dalam majlis tahlil ini kaum keluarga akan berkumpul menyediakan jamuan untuk tetamu sambil mengadakan majlis tahlil dan diakhiri dengan jamuan. Lazimnya tahlil dalam masyarakat melayu dimulai dengan bacaan al fatihah, surah al ikhlas,surah an nas,surah al falaq,surah al baqarah ayat 1 hingga 6 dan ayat kursi serta sebahagian ayat ayat al quran dan kalimah Laa Ilaha Illa Allah sebanyak 100 kali dan diakhiri dengan doa tahlil. Imam yang mengetuai bacaan tahlil dan doa akan membacakan niat menghadiahkan pahala bacaan tersebut kepada simati dengan menyebut khusus nama simati tersebut.

Dalil-dalil membuat kenduri tahlil arwah:


عَنْ اَبِىْ ذَرٍّ رَضِىَ اللهُ عَنْهُ اَيْضًا اَنَّ نَاسًا مِنْ اَصْحَابِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالُوْا لِِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُُُُُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَا رَسُوْلَ اللهِ ذَهَبَ اَهْلُ الدُّثُوْرِ بِاْلاُجُوْرِ يُصَلُّوْنَ كَمَا نُصَلِّى وَيَصُوْمُوْنَ كَمَا نَصُوْمُ وَيَتَصَدَّقُوْنَ اَمْوَالَهُمْ .

قَالَ اَوَلَيْسَ قَدْ جَعَلَ اللهُ لَكُمْ مَا تَصَدَّقُوْنَ اِنَّ بِكُلِّ تَسْبِيْحَةٍ صَدَقَةً وَكُلِّ تَكْبِيْرَةٍ صَدَقَةً وَكُلِّ تَحْمِيْدَةٍ صَدَقَةً وَكُلِّ تَهْلِيْلَةٍ صَدَقَةً وَاَمْرٍ بِالْمَعْرُوْفِ صَدَقَةً وَنَهْىٍ عَنْ مُنْكَرٍ صَدَقَةً وَفِى بُضْعِ اَحَدِكُمْ صَدَقَةً قَالُوْا يَا رَسُوْلَ اللهِ اَيَأْتِىْ اَحَدُنَا شَهْوَتَهُ وَيَكُوْنَ لَهُ فِيْهَا اَجْرٌ قَالَ اَرَأَيْتُمْ لَوْ وَضَعَهَا فِى حَرَامٍ اَكَانَ عَلَيْهِ وِزْرٌ فَكَذَلِكَ اِذَا وَضضَعَهَا فِى الْحَلاَلِ كَانَ لَهُ اَجْرٌ . رَوَاهُ مُسْلِمٌ

Ertinya: Diriwayatkan daripada Abi Zar r.a, telah bertanya oleh beberapa orang sahabat kepada Nabi s.a.w, “wahai Rasulullah telah pergilah orang-orang hartawan dengan pahala yang banyak maka sembahyang mereka itu sepertimana kami sembahyang dan puasa mereka itu sepertimana kami puasa dan bersedekah mereka itu dengan kelebihan daripada kekayaan mereka”. Telah menjawab oleh Nabi s.a.w, “adakah kamu bersusah hati?. Bukankah telah dijadikan oleh Allah bagimu sesuatu yang boleh kamu bersedekah dengannya.

Sesungguhnya bagi tiap-tiap tasbih itu sedekah, tiap-tiap pujian itu sedekah, tiap-tiap tahlil itu sedekah, menyeru dengan pekerjaan yang baik-baik itu sedekah, melarang kemungkaran itu sedekah dan pada berjimak kamu itu juga sedekah”. Berkata para sahabat, “adakah bagi seseorang kami pahala dengan menunaikan shahwat?”. Jawab Rasulullah s.a.w “bagaimanakah perkiraan kamu jika kamu tunaikan shahwat itu kepada yang haram?, adakah kamu berdosa?. Maka seperti demikian pulalah apabila kamu menunaikan shahwat pada yang halal nescaya bagimu itu pahala”.

Hadis riwayat Muslim.

وَرَوَيْنَا فِى سُنَنِ الْبَيْهَقِىْ بِاِسْنَادٍ حَسَنٍ اَنَّ اِبْنَ عُمَرَ اِسْتَحَبَّ اَنْ يُقْرَأَ

عَلَى الْقَبْرِ بَعْدَ دَفْنِ اَوَّلُ سُوْرَةِ الْبَقَرَةِ وَخَاتِمَتِهَا

Ertinya: Telah kami meriwayatkan di dalam sunan Al-Baihaqi dengan isnad yang hasan bahawa Ibnu Umar menyunatkan bahawa dibacakan atas kubur selepas wafat, awal surah Al-Baqarah dan akhirnya.

Hadis riwayat Ibnu Mubarak daripada Sulaiman At-Taimi daripada Abi Usman daripada Ma’qil bin Yasar, beliau berkata: “Telah bersabda Nabi s.a.w

اِقْرَأُوْا يس عَلَى مَوْتَاكُمْ

Ertinya: Bacalah surah Yasin atas mereka yang mati dikalangan kamu.

Banyak pandangan mengenai keharusan mengadakan kenduri tahlil ini.malah ada pandangan yang mengatakan bahawa nabi Muhammad tidak pernah melarang untuk berbuat demikian.Majlis kenduri tahlil adalah majlis zikir dan tidak salah mengadakannya,malah ramai ulama’ yang menghukumkan pahala bacaan al Quran sampai kepada simati. Oleh kerana amalan tersebut sampai kepada simati,maka mengadakan mengadakan kenduri tahlil tidak menjadi kesalahan dan bukanlah perkara bidah kerana di dalamnya terkandung bacaan al Quran dan pahala bacaan al quran tersebut dihadiahkan kepada simati.kalaupun ianya dikra bidah,ia merupakan bidah yang dikira baik.

Persoalan yang timbul hari ini ialah cara perlaksanaan majlis tahlil itu yang diadakan.Kita sedia maklum bahawa kenduri tahlil ini melibatkan pembacaan ayat ayat al quran,selawat,istigfar dan juga doa untuk simati. Aktiviti ini semua termasuk dalam amal soleh,ianya sangat digalakkan, tetapi malangnya terdapat sebahagian tetamu yang hadir tidak bersama sama dalam majlis tahlil ini,ada yang berborak kosong apabila sebahagian yang lain sedang berzikir.malah kaum keluarga tuan rumah pula sibuk menyediakan persediaan jamuan.

Ada juga tuan rumah yang sanggup berhutang untuk menjayakan kenduri majlis tahlil ini apatah lagi ia melibatkan tiga hari berturut turut.Ianya memerlukan sebahagian modal yang besar untuk membeli keperluan khususnya keperluan untuk jamuan yang akan dijamu kepada para jemputan nanti. Para jemputan juga selalunya akan membuat andaian menu yang menarik yang akan dihidangkan selepas majlis tahlil nanti.Kesudahannya majlis tahlil bertukar kepada majlis makan sahaja.

Ada juga majlis tahlil ni di buat oleh sedara mara/waris simati dengan duit simati yang belum diselesaikan pembahagian harta pusakanya atau juga duit anak anak waris yang telah menjadi yatim piatu. Kalau tak buat org mengata pulak, bila buat tak kena dengan hukum pulak. Adakah menjamu orang ramai makan dan minum itu menyalahi dari segi hukum syarak? Siapa yang rasa mahu menjamu makanan dipersilakan, cumanya kena faham bahawa kenduri tahlil itu bukan wajib.

Terdapat sebahagian terutamanya golongan muda kini hanya menganggap majlis tahlil ini hanya majlis makan makan sahaja. Sebab itu kebanyakan mereka yang datang ke majlis kenduri tahlil ini hanya menunggu majlis jamuan sahaja. Mereka tidak duduk bersama sama dalam majlis tahlil.malah ada dikalangan generasi yang berpendidikan agama pun tidak mahu bersama sama dalam majlis tahlil ini.Alasan mereka majlis ini amalan bidah.tetapi apabila keluarga mereka mengadakan majlis kenduri tahli pula,mereka tidak pula pula menentangnya.

Kerana itulah kebanyakan majlis tahlil ini hanya diketuai oleh orang orang yang telah tua sahaja.Generasi muda kebanyakan tidak mahu terlibat atau sebenarnya tidak tahu mengenai cara cara mengendalikan majlis tahlil.

Masyarakat hari ini, terlalu sibuk dan tidak ambik perhatian dengan jiran dan kejiranan. jika kita membuat satu-satu majlis seperti menjamu makan dengan sempena sesuatu perkara, kita akan menjemput jiran,maka secara tidak langsung kita membina hubungan silaturahim dengan jiran dan saudara mara Jika tidak ada majlis jamuan makan, adakah saudara mara atau jiran tetangga mahu saja-saja datang rumah kita untuk membina silaturahim ini?

Melalui majlis tahlil dan Yassin, sekurang-kurangnya saudara yang jauh, jiran tetangga akan datang juga untuk mengeratkan hubungan persaudaraan ini. Hanya jangan kita menanggap majlis tahlil itu wajib.

Daripada menjamu makan di majlis hari jadi yang akan timbul perkara yang lagha atau selingan maksiat, baiklah buat majlis tahlil mengikut kaedah yang sebenarnya ,tentu ada keberkatannya.

Umumnya majlis kenduri tahlil ini selalunya dibuat selama 3 hari berturut turut, hari ke 7 ,hari ke 40 dan ke 100 pulak. Selepas itu kenduri tahlil akan diadakan setahun sekali.lama kelamaan langsung tidak dibuat. Bagi sesetengah bangsa dan tempat pula kenduri tahlil hari ke 100 diadakan secara besar besaran tak ubah seperti kenduri kahwin.

Apabila bilangan hari ini dijadikan kepercayaan ,maka ia pasti menyalahi kehendak agama,ia hanya memenuhi kehendak adat semata mata. Apatah lagi sekiranya kenduri tahlil ini diadakan 3 hari berturut turut selepas kematian salah seorang ahli keluarga. Ia pasti menambah beban yang ditanggung oleh waris simati yang sedang dilanda musibah dan kesedihan.Apatah lagi keluarga simati terpaksa pula bertungkus lumus untuk menyediakan persiapan kenduri 3 hari berturut turut.Sedangkan rasa sedih mereka di atas kematian ahli keluarga masih belum hilang lagi.

Kenduri arwah yang selalu diadakan oleh masyarakat melayu pada hari ini pada hakikatnya lebih merupakan tradisi dan kepercayaan untuk mengirim pahala bacaan fatihah atau menghadiahkan pahala melalui pembacaan al-Quran terutamanya surah yasin, zikir dan berdoa beramai-ramai yang ditujukan kepada arwah si Mati lebih lebih lagi jika ia diadakan mengikut bilangan hari hari yang telah ditetapkan.

Begitu juga sesuatu amalan yang disangkakan ibadah sama ada yang dianggap wajib atau sunnah, maka ia tidak boleh ditentukan oleh akal atau hawa nafsu, antara amalan tersebut ialah amalan kenduri arwah (tahlilan atau yasinan) maka lantaran ramainya orang yang mengamalkan dan adanya unsur-unsur agama dalam amalan tersebut seperti bacaan al-Quran, zikir, doa dan sebagainya, maka kerananya dengan mudah diangkat dan dikategorikan sebagai ibadah. Sedangkan kita hanya dihalalkan mengikut dan mengamalkan apa yang benar-benar telah disyariatkan oleh al-Quran dan as-Sunnah jika ia dianggap sebagai ibadah sebagaimana firman Allah Azza wa-Jalla:

ثُمَّ جَعَلْنَاكَ عَلَى شَرِيْعَةٍ مِنَ اْلاَمْرِ فَاتَّبِعْهَا وَلاَ تَتَّبِعْ اَهْوَاءَ الَّذِيْنَ لاَ يَعْلَمُوْنَ . اَنَّهُمْ لَنْ يُّغْنُوْا عَنْكَ مِنَ اللهِ شَيْئًا

"Kemudian Kami jadikan kamu berada di atas suatu syariat (peraturan yang wajib ditaati) dalam urusan (agamamu) itu, maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu ikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (orang jahil). Sesungguhnya mereka sekali-kali tidak akan dapat menolak diri kamu sedikitpun dari siksaan Allah".

Al-Jasiyah, 45:18-19.

Setiap amalan yang dianggap ibadah jika hanya berpandukan kepada andaian mengikut perkiraan akal fikiran, perasaan, keinginan hawa nafsu atau ramainya orang yang melakukan tanpa dirujuk terlebih dahulu kepada al-Quran, as-Sunnah dan athar yang sahih untuk dinilai sama ada haram atau halal, sunnah atau bid'ah, maka perbuatan tersebut adalah suatu kesalahan (haram dan bid’ah) menurut syara sebagaimana yang dijelaskan oleh ayat di atas dan difatwakan oleh Imam Syafie rahimahullah.

Namun begitu di dalam majlis kenduri kematian dan arwah yang dilakukan dalam masyarakat melayu pada hari ini,membuktikan bahawa walaupun ahli keluarga si mati bersedih,namun dengan mengadakan majlis kenduri tahlil dan arwah itu,akan mengurangkan rasa kesedihan mereka,bahkan mereka merasa gembira kerana majlis tersebut melibatkan bacaan al quran,tahlil,tasbih dan lain lain amalan yang baik yang dihadiahkan pahalanya kepada si mati.Mereka menggangap amalan tersebut sebagai satu usaha untuk menolong kaum kerabat mereka yang telah meninggal dunia.

Persoalan yang timbul pada hari ini ialah amalan kenduri tahlil ini adakah salah dari sudut hukum syariat atau menyalahi aqidah.Adakah amalan ini semakin tepat atau menyesatkan?

Selasa, 29 November 2011

Travelog Muharam


Salam Muharam,

26 november 2011
Kami sekeluarga bersama mak tersayang bertolak ke cenderong balai untuk meraikan majlis perkahwinan sepupu Aizuddin Abd Razak.Alhamdulillah kami bertolak dari Sabak Bernam pada jam 10.00 pagi dan kami singgah di masjid simpang empat pada jam 11.30 tengahari.Di mulai dengan solat tahiyatul masjid.Semoga mendapat barakah.

Di masjid tempat pengantin lelaki berandah…tidak di rumah yang selalunya di buat oleh kebanyakan pengantin lelaki…tiada mak andam yang membawa beg solekan dan persalinan baju yang pelbagai. Cukup hanya sepasang baju pengantin.

Pukul 12 tengahari kami bertolak ke rumah pengantin perempuan..dan kami menjamu selera di khemah tetamu yang disediakan…selamat penganti baru aizuddin….semoga dalam rahmat dan barakah Allah SWT.

3.00 petang, bertolak ke rumah Hj Mohammad untuk meraikan majlis doa selamat dan aqiqah anaknya pada malam harinya di Taman SS1 Ipoh Perak.Suasana taman perumahan yang cukup mendamaikan hati. Ramai kakitangan kerajaan menetap di taman ini.

Yang menariknya ialah pusat aktiviti taman iaitu surau yang terletak di tengah tengah kawasan taman perumahan yang cukup aktif memainkan peranan dalam menyatukan hubungan sesama manusia dalam mencari keredhaan Allah.

6.30 petang…ramai penduduk taman telah memenuhi ruang surau untuk majlis bacaan yaasin dan doa akhir tahun di sertai dengan tazkirah pendek dan bacaan doa awal tahun 1433 H apabila telah masuk waktu maghrib.

 Kami solat berjamaah maghrib kemudian disusuli dengan tahlil dan doa selamat.Satu situasai yang menarik di taman perumahan ini ialah majlis khenduri tahlil atau doa selamat akan diadakan disurau sahaja. 

   Majlis pun dapat diadakan dalam keadaan yang cukup tenang tanpa gangguan hiruk piruk suasana khenduri yang biasa di adakan di tempat tempat lain.

Tidak ada majlis cukur kepala bayi dan berendoi seperti yang biasa diadakan di kebanyakan tempat.Itu semua hanya budaya yang telah meresap kedalam jiwa masyarakat melayu. 

Selesai menunaikan solat isyak berjamaah,tetamu di jemput ke rumah Hj Mohammad untuk menikmati jamuan.Kami dijamu dengan kambing panggang pada malam itu.Alhamdulilah semua tetamu dapat menikmati jamuan dalam kedaan yang selesa.

Sesuatu yang menarik untuk saya simpulkan ialah jangan kita ketepikan soal hubungan kita dengan Maha pencipta hanya untuk mengukuhkan hubungan sesama manusia.Banyak perkara yang diadakan sekarang hanya semata mata adat dan budaya sahaja. 

Kemampuan penduduk di taman perumahan ini mewujudkan suasana hubungan sesama manusia  disamping sentiasa mewujudkan amalan yang selari dengan kehendak agama Islam   sepatutnya dijadikan contoh oleh penduduk di tempat lain.

Jangan jadikan adat dan budaya yang bercanggah dengan Agama Islam menjadi kebimbangan jika tidak dilakukan. Biarlah masyarakat sekeliling memanggil kita dengan panggilan cerewet atau berkira sekalipun, asalkan kita berpegang kepada Al-Quran dan Hadis, mereka yang mencaci adalah mereka yang jahil mengenai Islam.

Agama hendaklah didahulukan daripada Budaya, kerana dalam budaya belum pasti ada kebaikan dan kejayaan dari Allah s.w.t Tuhan Semesta Alam, Budaya adalah rekaan nenek moyang kita semata. Jangan tertipu dengan kata-kata "Biar mati anak, jangan mati adat" . Ada ketika kita terpaksa melawan adat, kerana bila beradat kita terpaksa melanggar perintah Tuhan, dan membuat larangan-Nya.

Tutuplah Aurat mengikut Syariat Yang Betul..


Kita kini terlalu jauh dari tempoh waktu kenabian. Telah terlalu lama terpisah dari zaman salafussoleh yang amat menitikberatkan sifat wara’ dan berjaga-jaga dalam setiap tindakan, sehingga terlalu banyak ajaran dan aturan Islam yang dipandang asing dan remeh.

Antaranya persoalan tentang aurat wanita. Islam telah menetapkan kadar aurat yang perlu dijaga oleh wanita serta menggariskan syarat-syarat yang perlu dipatuhi dalam berpakaian. Aurat merupakan istilah Islam yang melambangkan sesuatu bahagian dari anggota badan, samada lelaki ataupun perempuan, yang haram dibuka atau dipamerkan. 

Dalam erti kata lain sesuatu anggota badan yang wajib ditutup dan disembunyikan dan haram orang bukan mahram melihatnya. Menutup aurat adalah wajib ke atas setiap Muslim, tidak kira lelaki atau perempuan. Kewajipan menutup aurat ini berdasarkan kepada dalil-dalil daripada Al-Quran dan Hadis.

Dewasa kini, bukan lagi sesuatu yang luar biasa,  wanita  berada di luar rumah tanpa batas, ke hulu dan hilir di depan lelaki ajnabi atau bersama-sama lelaki yang bukan mahram tanpa keperluan yang syar’i. Ditambah lagi, mereka keluar dengan mengenakan pakaian yang kurang sempurna , dan memperlihatkan pula keelokan paras rupa, keindahan anggota tubuh,  dan dandanan, serta semerbak aroma di badan. Keadaan ini telah menyebabkan wanita terlalu jauh dengan perintah Allah S.W.T dalam hal berkaitan menutup aurat dengan cara yang betul.

Berikut adalah pendapat mazhab Syafie berhubung dengan perkara menutup aurat:

1.Qaul pertama - semua anggota tubuh adalah aurat tanpa kecuali. Demikian menurut qaul yang paling sahih atau muktamad.

2. Qaul kedua - semua anggota tubuh adalah aurat kecuali muka dan dua tapak tangan. Walau bagaimanapun jika mendedahkannya boleh menimbulkan fitnah, maka wajib juga ditutup iaitu sebagai langkah menutup pintu fitnah.


Dalil aurat wanita

Suatu ketika, Rasulullah SAW pernah bersabda : Maksudnya : “Wanita itu aurat, maka bila ia keluar rumah, syaitan terus memandanginya (untuk menghias-hiasinya dalam pandangan lelaki sehingga terjadilah fitnah).” (Disahihkan oleh al-Imam al-Albani rahimahullah dalam Sahih at-Tirmidzi, al-Misykat no. 3109, dan al-Irwa’ no. 273. Dishahihkan pula oleh Al-Imam Muqbil ibnu Hadi Al-Wadi’i rahimahullahu dalam Ash-Shahihul Musnad, 2/36)

Umat Islam hari ini ramai yang terlepas pandang akan hadis Nabi SAW di atas. Jikapun ada yang mengetahuinya, tidak ramai yang dapat menerimanya dengan hati terbuka bersuluh iman kerana intipatinya yang tidak selari dengan hawa nafsu, bahkan mereka mendakwa ia hanya merendahkan-rendahkan kaum wanita, tidak lagi relevan dengan perkembangan zaman, dan kata-kata lain yang bermaksud penolakan. Allah S.W.T menjadikan semua ciptaanNya di bumi ini berpasang-pasangan. Paling indah ciptaanNya adalah variasi manusia yang terbahagi kepada lelaki dan perempuan. Sudah lumrah, lelaki dan perempuan akan tertarik antara satu sama lain ditambah lagi dengan godaan dari syaitan yang akan terus menyesatkan anak Adam sehingga ke hari Kiamat.

Oleh yang demikian, kerana perempuan adalah pasangan kepada lelaki, maka Allah telah menciptakan bentuk badan wanita itu dapat memikat hati lelaki. Bila berkata tentang terpikat, maka ia ada hubung kait dengan nafsu. Jika ia ada hubungkait dengan nafsu, ianya ada hubungan pula dengan bisikan syaitan. Jadi untuk mengawal nafsu, mestilah dikawal dengan iman. Untuk mendapatkan iman mesti menurut perintah Allah dan RasulNya dan menjauhi laranganNya. Justeru, tujuan utama untuk menutup aurat bukan sahaja bagi mengelak dari pandangan nakal lelaki tetapi juga demi mendapatkan keredhaan Allah S.W.T.

Firman Allah S.W.T, Maksudnya: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya." (Surah An Nur : Ayat 31)

Perkara pertama yang akan dilihat ialah rambut wanita.  Oleh kerana itulah wanita wajib menutup rambutnya. 
Apabila rambut wanita itu telah ditutup, maka mata yang melihat akan turun ke bawah melihat bentuk lehernya, wajiblah wanita itu menutup lehernya. 
Kemudian, mata itu akan turun lagi melihat bentuk payu daranya, maka wanita itu berkewajipanlah menutup bentuk payu daranya dengan melabuhkan tudungnya.
Setelah itu mata akan turun lagi melihat bentuk ramping pinggangnya, maka labuhkanlah pakaian supaya tidak ternampak bentuk pinggangnya. 
Seterusnya, mata itu akan melihat pula akan bentuk punggungnya, maka wajiblah wanita itu membesarkan pakaiannya agar bentuk punggung tidak kelihatan, dan akan dilihat pula bentuk pehanya, maka janganlah sesekali wanita itu memakai kain yang agak ketat sehingga terlihat bentuk pehanya walau sedikit.
Kemudian, akan dilihat lagi kepada kakinya, maka wajiblah wanita itu menutup kakinya dengan melabuhkan kain, atau memakai stoking yang warnanya jangan sesekali berwarna kulit perempuan. 

Seterusnya, mata yang melihat akan kembali ke atas, melihat pula bentuk tangan wanita itu, maka muslimah perlu melabuhkan tudung menutupi bentuk tangannya yang indah. Jika wanita itu cukup soleh, takut mukanya yang cantik akan menimbulkan fitnah, maka berpurdahlah jika itu lebih baik.

Tetapi mata yang melihat  akan tertangkap dengan sepontan jika ia terlihat warna yang menyerlah atau terang jika ianya berada pada perempuan. Maka jangan memakai pakaian yang warnanya terang-terangan sangat. Jangan anggap tugas kita telah selesai, perlulah pula kita menjaga kehormatan diri masing-masing, jangan keluar seorang-seorang,keluarlah dengan mahram, atau keluarlah berkumpulan agar tidak diganggu gangguan luar. Bagi lelaki pula, mata lelaki janganlah menjalar langsung kepada muslimah, walau muslimah itu telah menutup aurat, insyaAllah selamat dunia akhirat. Seperti firman Allah : Maksudnya:

"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah Al-Ahzab : Ayat 59)


Definisi aurat berdasarkan situasi
Aurat wanita sangat komplikated dan berubah mengikut situasi:
  • Dihadapan mahram(saudara lelaki rapat), seseorang wanita itu wajib menutup seluruh badannya kecuali kepala dan tangan.

  • Dihadapan sesama wanita muslim, aurat perempuan ialah diantara pusat hingga lutut.

  • Aurat dihadapan sesama wanita bukan Islam menjadi perdebatan. Sesetengah ilmuwan menyatakan wajib menutup seluruh anggota badan kecuali muka dan pergelangan tangan. Sementara, sesetengah ilmuwan lain berpendapat aurat perempuan muslim kepada bukan wanita bukan Islam ialah sama ketika mana mereka berada dengan sesama wanita Islam.

  • Aurat dihadapan lelaki yang tiada pertalian tidak kira Islam mahupun bukan Islam adalah menutup seluruh anggota badan kecuali muka dan tapak tangan.

  • Aurat ketika solat ialah wajib menutup seluruh anggota badan kecuali muka dan tapak tangan.

 
Syarat-syarat berpakaian bagi Muslimah

Firman Allah Taala bermaksud: “Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.” (Surah al-Nur: Ayat 31).

Maksud ‘kecuali yang zahir’ dalam ayat ini sebagaimana yang ditafsirkan Ibnu Abbas r.a. ialah wajah dan dua tapak tangan wanita. Aisyah melaporkan, Asma’ bint Abu Bakr telah masuk ke tempat Rasulullah s.a.w berada sedangkan dia memakai pakaian nipis. Rasulullah s.a.w lalu berpaling daripada memandangnya sambil berkata, “Wahai Asma’ sesungguhnya seorang wanita itu apabila telah baligh (haid) maka tidak boleh baginya menampakkan tubuhnya kecuali ini dan ini, seraya menunjukkan wajah dan telapak tangannya.” Hadis direkodkan olah Abu Dawud.

Dalil lain yang menunjukkan dua kaki adalah aurat ialah hadis yang dilaporkan olehUmmu Salamah. Dia pernah bertanya Rasulullah s.a.w, Apakah seorang wanita boleh menunaikan solat di dalam pakaian labuh dan tudungnya jika dia tidak mempunyai sarung? Nabi s.a.w menjawab “Asal pakaian labuh (jubah) itu sempurna dan menutupi zahir kedua kakinya.” Hadis direkodkan oleh Abu Dawud. Abu Dawud menyatakan sesetengah perawi hadis ini tidak menyebut ia daripada Rasulullah s.a.w tetapi dari Ummu Salamah sendiri.  Jika ia lafaz Ummu Salamah sekalipun, ia tetap menjadi dalil yang kuat memandangkan Ummu Salamah adalah isteri Rasulullah s.a.w. Sudah tentu Ummu Salamah mengamalkan perkara yang telah diketahui benar dari Rasulullah s.a.w itu sendiri. Abu Dawud dan Al-Tirmizhi merekodkan hadis daripada Aisyah r.a yang mengatakan, bahawa Rasulullah s.a.w berkata, “Allah tidak menerima solat wanita yang telah haid kecuali dengan mengenakan tudung”. Hadis ini menunjukkan wanita yang telah baligh wajib menutup seluruh kepalanya ketika mahu solat.  Imam Tirmizi mengulas hadis ini di dalam Jami’nya (kitab karya beliau), “Apabila wanita yang telah baligh dan mukallaf melakukan solat dan ada bahagian rambutnya terdedah, maka solatnya dianggap tidak sah”.

Kita berpakaian untuk melindungi tubuh, untuk nampak lebih berketerampilan, juga sebagai melaksanakan sunnah yang dianjurkan Islam. Namun tidak semua konsep berpakaian menepati syariat, malah ada ketikanya ia mendatangkan ‘bala’ pula kepada kita. Ini sama seperti pesan Rasulullah lewat hadis baginda;  Daripada Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Ada dua macam penghuni neraka yang kedua-duanya belum kelihatan olehku. Pertama, kaum yang memiliki cambuk seperti ekor sapi yang digunakan untuk memukul orang lain. Kedua, wanita yang berpakaian tetapi sama seperti telanjang (kerana pakaiannya tidak menutup aurat, nipis dan mendedahkan bahagian yang tidak sepatutnya dilihat bukan muhrim) dan wanita yang mudah dirayu dan juga suka merayu. Wanita tersebut tidak dapat masuk syurga, bahkan tidak dapat mencium bau syurga, padahal bau syurga itu dapat dicium dari jarak yang sangat jauh.” (Sahih Muslim).

Salah satu budaya malang yang menimpa wanita Islam dewasa kini ialah budaya berpakaian tetapi telanjang. Kebanyakan wanita hari ini berpakaian mengikut fesyen walaupun ada sesetengah fesyen yang dikenakan amat bertentangan dengan syariat Islam. Ada sesetengah wanita pula menyangkakan bahawa dengan bertudung, mereka sudah menutup aurat, sedangkan apa yang mereka sarungkan di tubuh badan mereka hanyalah pakaian yang nipis melayang ataupun yang ketat dan sendat seperti nangka dibalut dan nampakkan segala-galanya. Ada juga yang menenakan tudung tetapi menampakkan lengan. Sesetengahnya pula berbaju singkat hingga menampakkan seluar dalam, bentuk ‘V’ line dan lurah mereka.

Kenapa wajib menutup aurat? Jawapannya ada dalam al-Quran, Allah SWT telah berfirman yang bermaksud, “Hai Nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: "Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka." Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha pengampun lagi Maha penyayang.” (Surah al-Ahzab [033], ayat 59)

Ciri-ciri pakaian Muslimah:
1.      Tudung mestilah labuh menutupi dada dan tidak jarang atau nipis.
2.      Baju mestilah labuh dan longgar.
3.      Lengan baju panjang sehingga pergelangan tangan.
4.      Kain atau seluar yang dipakai mesti panjang sehingga ke buku lali (mata kaki).
5.      Kasut yang tidak berbunyi (sekiranya hendak memakai kasut yang bertumit tinggi, pastikan tumitnya diperbuat daripada getah)
6.      Memakai sarung kaki

Dalam urusan berdandan atau berhias-hiasan bagi golongan isteri juga haruslah dilakukan menepati syariat seperti mendapat izin suami terlebih dahulu. Ini ditegaskan Rasulullah SAW seperti yang diceritakan daripada Asma Abu Bakar mengenai seorang wanita yang datang bertanya kepada Rasulullah, “Saya mempunyai kemusykilan. Berdosakah kalau saya berdandan dengan harta suami yang belum diberikannya kepada saya?” Balas Rasulullah SAW, “Orang yang berdandan dengan apa yang belum diberikan suaminya, sama dengan memakai dua helai baju palsu (penuh dosa).” (Sahih Muslim).

   Peranan berpakaian dalam membentuk peribadi muslimah

ALLAH S.W.T memerintahkan agar wanita duduk diam di rumah jika tiada sebarang urusan yang berkehendakkan mereka perlu keluar, seperti menuntut ilmu, bekerja menambah ekonomi keluarga, mendapatkan rawatan atau nasihat perundingan dan lain-lain yang diizinkan agama, dengan manfaat agar nilai dan harga diri wanita sebagai perhiasan dunia yang indah dapat terus dipelihara. 

Firman-NYA : Maksudnya:"Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang Jahiliyah yang dahulu dan dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan taatilah Allah dan Rasul-Nya. Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan dosa dari kamu, hai ahlul bait dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya." ( Surah al Ahzab ayat 33 )

Walaupun zahir ayat ini ditujukan kepada para isteri Nabi SAW, namun wanita selain mereka perlu mentadabbur ayat ini dan mengambil sudut manfaat serta maknanya. Wajar difahami bahawa maksud dari ayat ini bukan untuk membatasi ruang gerak seorang perempuan atau mengurangi peranannya di dalam masyarakat, tetapi hakikat dan maksudnya adalah untuk mengatur bagaimana seorang perempuan tatkala keluar dari sempadan rumahtangganya agar tetap selari mengikut syari'at agama. Allah SWT juga mengingatkan : 

Maksudnya : “Hai anak Adam! Janganlah kamu sekali-kali dapat ditipu oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapamu dari syurga, ia menanggalkan dari keduanya pakaiannya untuk memperlihatkan kepada keduanya aurat mereka.” ( Surah Al-A’raf ayat 27 ).
Fitrah seorang wanita pastinya ingin tampil mempesona dan akan tertarik dengan busana yang sungguh indah dan cantik di mata. Semua wanita mempunyai keinginan itu. Cuma, wanita bergelar Muslimah perlulah memahami dan meneliti setiap tindak tanduk mereka. Menggunakan kecerdasan akal yang dikurniakan oleh Allah Yang Maha Esa untuk lebih bijak menggunakan kecantikan bagi mencapai matlamat yang benar. Kecantikan dan perhiasan yang ada pada mereka, tidak lebih dari hanya sebuah ‘alat’, bukan tujuan.

Andai betul dan benar bawaan kita dalam menggunakan alat itu, maka besar pula potensi kita mencapai tujuan. Sebaliknya, jika salah bawaan kita, walau sedikit sahaja, maka ‘alat’ itu tidak lagi memberikan manfaat dan kebaikan, bahkan ia boleh berubah menjadi gunting dalam lipatan. Atau lebih buruk dari itu, ia menjadi senjata makan tuan.


Lihatlah sekeliling kita dengan penuh keinsafan dan rasa belas seorang perempuan, bagaimana sejumlah wanita Muslimah yang telah tersasar menggunakan kecantikan yang dianugerahkan. Gadis remaja bersaing untuk kelihatan paling menawan, wanita dewasa saling berlumba untuk kelihatan cantik bergaya. Kesannya, gejala seks bebas kian melata akibat dari wanita tidak menjaga penampilan dan lelaki semakin sukar memelihara pandangan. Ditambah lagi dengan kemunculan wanita-wanita penggoda yang menyebabkan rumahtangga wanita lain berantakan dan lain-lain lagi. Semua itu ada mukadimah atau rangsangannya dan antara mukadimah itu ialah bertabarruj. Lihatlah betapa besarnya peranan pakaian Muslimah dalam membentuk peribadi juga generasi.

Justeru itu, Islam menggesa kaum wanita agar memelihara dirinya dari kecantikan yang memperdayakan dan mengarah kaum lelaki supaya tidak melihat kaum wanita dengan pandangan yang bersumber dari syaitan. Allah SWT berfirman: Maksudnya : “Katakanlah kepada kaum lelaki daripada golongan yang beriman, hendaklah mereka mengawal penglihatan mereka dan menjaga kehormatan kemaluan mereka.” ( Surah an-Nur ayat 30 ).

Kerana itu, perlu ditegaskan bahawa tujuan seorang wanita berhias cantik adalah untuk menambah kasih dan cinta lelaki bernama suami, menghangatkan ikatan yang telah dihalalkan atas nama Tuhan Yang Maha Esa. Dan akhir dari itu semua pastilah demi mencapai kesejahteraan dan keredhaan-Nya. Akhirnya, insafilah, bahawa ketika ini musuh-musuh Islam begitu memerhatikan kedudukan wanita Islam dan kepada siapa dia dapat memberikan pengaruhnya. Seorang Muslimah itu, hidupnya adalah sebagai seorang ibu, sekaligus sebagai guru dan pembangun generasi yang makmur dan padu. 

Justeru itu, mereka berusaha sedaya upaya untuk menghancurkan moral dan akhlak Muslimah, merentap ‘pakaian’ Deen yang benar, mengoyak ‘hayaa’ ( rasa malu ) dari menutupi tubuh badan, fikiran dan tindakan mereka sehingga kesannya nanti, moral dan akhlak anak-anak Muslim, pembangun masa depan sebagai tiang-tiang ummat, akan turut hancur dan rosak.

Jika keadaan ini dibiarkan berterusan tanpa rawatan, kelak tiang ini akan hancur lunyai bak dimakan anai-anai. Hilanglah kekuatan Ummah. Generasi pewaris semakin lemah, maka apa yang akan terjadi pada masa depan umat Islam? Mungkinkah hanya tinggal sejarah? Tidakkah sebak di hati kita membayangkan ummat Islam di zaman Rasul dan salafussoleh, mereka cemerlang dan tinggi di mata dunia kerana meletakkan kebenaran menguasai hawa nafsu. Berbanding kita hari ini, semakin lemah dan diperlekeh kerana nafsu merajai kebenaran sehingga sanggup mengenepikan wahyu dan aturan Tuhan.

Oleh itu, marilah kita bersama-sama, dalam menghadapi situasi yang gawat dan kritis ini, untuk kembali kepada kehendak Allah SWT yang menginginkan agar manusia berusaha mengendalikan hawa nafsu berwahanakan ilmu. Ilmu yang yang diwariskan oleh Junjungan kita, Nabi Muhammad SAW kepada para sahabat, tabi’in, tabi’ al-tabi’in, dan para ulama yang sentiasa prihatin dengan ajaran dan sunnah Rasul-Nya.

Semoga Allah SWT mengurniakan manfaat yang ada padanya dan mengalirkan kesannya pada hati dan jiwa kita dengan kedamaian, ketenangan dan kebahagiaan. Ketahuilah, kita kini umpama berdiri di satu pelabuhan kehidupan, sedang menunggu kapal yang akan membawa kita ke destinasi terakhir di sebuah dataran besar, iaitu akhirat yang lebih kekal. Tingkatkan ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya dan carilah apa yang menyenangkan Allah bagi memungkinkan kita meraih komoditi yang tidak terbanding nilaiannya. Bahawa kita semua punya harapan untuk Al- Jannah. Syurga yang tersedia untuk golongan yang benar-benar beriman dan bertaqwa kepada Allah. Firman Allah S.W.T, Maksudnya:

Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu dan pakaian perhiasan dan pakaian yang berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur). (Surah Al-A’raaf : Ayat 26)












Rabu, 23 November 2011

Walimatul urus..antara kehendak agama dan budaya


Bermulanya cuti sekolah, maka semakin banyaklah masing masing menerima kad undangan khenduri khawin atau walimatul urus. Walimatul ‘arus ialah kenduri bagi meraikan atau merayakan pengantin baru.
Mengadakan majlis walimah adalah sangat digalakkan dalam Islam. Hukum mengadakan kenduri kahwin ini adalah sunat muakkad (sangat dituntut) sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Kata Nabi s.a.w. kepada Abdul Rahman bin Auf sewaktu beliau berkahwin, hendaklah kamu mengadakan kenduri kahwin sekalipun hanya menyembelih seekor kambing”.

Mengadakan walimah ini bertujuan untuk mengumumkan pernikahan di samping menggembirakan pengantin yang baru menjejaki jinjang pelamin dan ia juga sebagai tanda kegembiraan orang tua kerana mendapat menantu baru. Pengumuman yang sebaik-baiknya ialah majlis perkahwinan yang diadakan di masjid dan dipukul gendang dan rebana.

Sabda Rasulullah saw:Maksudnya:“Umumkanlah perkahwinan dan selenggarakanlah di masjid dan pukullah gendang dan rebana pada hari perkahwinan itu.”
(Riwayat Ahmad dan Tirmizi)

Maka di sini timbullah sebuah persoalan, iaitu sejauh manakah sebenarnya majlis perkahwinan yang benar-benar dianjurkan oleh syariat sebagaimana yang ditunjukkan oleh Al-Quran dan As-Sunnah yang sahih? 

Adakah majlis perkahwinan itu perlu diadakan dengan pelbagai aturcara seperti upacara sarung cincin, persandingan, iringan muzik, dan sesi mengambil gambar (fotografi)? 

Adakah bentuk-bentuk aturcara walimah seperti ini benar-benar menepati kehendak syariat dan merupakan suatu yang dibenarkan atau sebaliknya? Sekaligus, adakah tanpa semua upacara tersebut, majlis walimah menjadi hambar dan tidak meriah?

Dengan memahami yang mana satu adalah sunnah dan mana satu merupakan tokok tambah (bukan dari anjuran agama), ia bakal membantu kita semua membezakan di antara keduanya berdasarkan ilmu. Seterusnya kita akan berupaya menjadikan sebuah majlis perkahwinan kita, anak-anak kita, dan keluarga baru kita sebagai sebuah majlis yang berhak mendapat keberkahan dan redha dari Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan memisahkannya dari apa yang tidak disyari’atkan.

Janganlah mencemarkan kenduri dengan perkara yang bercanggah dengan syariat Islam. Pergaulan bebas lelaki dan perempuan, membuka aurat  , bersolek dan memakai wangi-wangian bagi wanita, pertuturan keji dan lucah, mengkhususkan adanya cincin perkahwinan, adat bersanding dan pelamin, menabur Gula-gula, coklat, dan bunga , adat merenjis air mawar ,nyanyian dan tarian yang melalaikan,bersalaman dengan bukan muhrim, senda gurau yang melampau adalah contoh beberapa situasi yang sering berlaku dalam majlis kenduri kahwin. 

Mewajibkan Adanya Duit dan Barang Hantaran juga adalah merupaka satu amalan dalam masyarakat melayu dengan mewajibkan pihak lelaki supaya membayar sejumlah wang yang dinamakan sebagai wang hantaran kepada keluarga pihak perempuan. Kebiasaannya (pada masa ini) sehingga RM10,000 atau lebih dari itu bergantung kepada status pendidikan atau pun permintaan wanita yang hendak dinikahi. Nilai wang hantaran ini akan ditetapkan oleh sama ada bakal isteri atau pihak keluarga bakal isteri. Sekali imbas, perbuatan ini adalah seakan-akan sebuah perbuatan jual beli wanita. Dan wang ini akan diserahkan kepada keluarga si isteri.

Dan kemudiannya, kedua-dua pihak akan saling bertukar barang hantaran tertentu sesama mereka. Di mana mereka mengkhususkan dengan jumlah bilangan tertentu, seperti 7 dulang dari lelaki berbalas 10 dulang barangan tertentu dari pihak perempuan.

Ada pun sebenarnya perbuatan ini langsung tidak pernah ditetapkan oleh Islam, dan perbuatan ini merupakan perbuatan bid’ah iaitu amalan yang ditokok tambah ke dalam majlis walimah umat Islam. Adalah menjadi suatu yang sunnah di dalam agama supaya memudahkan urusan pernikahan , tetapi, dengan ditambahnya amalan-amalan seperti ini, ia hanya akan menyusahkan pasangan yang hendak berkahwin dan ia sekaligus menggalakkan maksiat sekiranya perkahwinan ditangguhkan hanya semata-mata disebabkan perkara yang karut ini.

Begitu juga dengan upacara Memotong Kek Perkahwinan.Perbuatan ini juga bukan berasal dari syariat Islam, bahkan berasal dari budaya orang kafir dari masyarakat Kristian. Malah ia juga menyerupai atau mengambil syi’ar kaum Majusi (penyembah api) sekiranya kek tersebut disertai dengan nyalaan lilin.

Kebanyakan pengantin pula sanggup berbelanja besar untuk set pakaian,gambar dan pelamin yang mencecah ribuan ringgit.Di dalam Islam, kita dituntut untuk bersederhana di dalam segala perkara yang kita laksanakan. Kita juga tidak digalakkan untuk membazir dan berlebih-lebihan.

Suatu yang kini semakin menjadi trend di dalam masyarakat Melayu saat ini adalah menetapkan bahawa pasangan pengantin di ketika majlis perkahwinan mereka mestilah memakai pakaian yang sedondon seperti memakai pakaian yang sama warnanya dengan pasangan, memakai pakaian yang mesti dilengkapi dengan tanjak, keris, dan bunga-bungaan. Jika keadaan tersebut berlaku sebaliknya, di mana pasangan pengantin tidak mengenakan set pakaian seperti itu, maka mereka pun akan dilihat sebagai janggal dan diejek sebagai tidak mengenal atau tidak menghormati adat.

Ada pun sebenarnya penetapan seperti ini adalah termasuk ke dalam perbuatan berlebih-lebihan dan boleh menjurus kepada larangan agama. Cukuplah sekadar berpakaian dengan pakaian yang melambangkan akhlak, imej, dan nilai-nilai Islam yang murni. Dan Islam itu bukanlah suatu agama yang memberat-beratkan umatnya.


Allah s.w.t berfirman:
“Wahai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutup auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian taqwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat.” (Surah al-A’raaf, 7: 26)
“Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.” (Surah al-A’raaf, 7: 31)

Sesetengah tuan rumah pula sanggup berhutang untuk memenuhi tuntutan masyarakat dengan mengadakan majlis walimah secara besar besaran. Bayangkanlah jika jemputan walimah seramai seribu orang, kos catering untuk satu kepala mungkin menelan belanja sebanyak RM 10, maka sebanyak sepuluh ribu ringgit terpaksa dikeluarkan. Itu belum lagi kos kos lain untuk melengkapkan kemeriahan yang hanya menjadi tuntutan budaya dan adat sahaja.. 

Pihak tetamu tidak memikirkan bebanan yang yang ditanggung oleh pihak yang mengadakan majlis. Mereka sanggup berhutang daripada bank atau kaum keluarga terdekat dalam menyediakan majlis walimah ini. Semua ini dilakukan supaya majlis walimah yang diadakan setanding dengan majlis walimah orang lain. Mereka tidak mahu melihat cacat cela dalam majlis yang diadakan walaupun pada dasarnya mereka kurang berkemampuan. 

Pihak majlis juga menyediakan buah tangan kepada tetamu. Beg berisi gula-gula, telur serta kuih-muih atau makanan ringan disediakan.Seolah olah menjadi kewajipan dan satu kesalahan jika tidak membei buah tangan kepada tetamu yang hadir.

Begitu juga dengan kad jemputan yang pelbagai harga dan bentuk diberikan semasa mengundang tetamu. Kad undangan terdiri daripada pelbagai harga hanyalah bertujuan memberitahu tarikh, alamat dan nama pengantin supaya jemputan dapat hadir ke majlis yang diadakan tetapi kad undangan yang diterima oleh tetamu sebenarnya menggambarkan jumlah sumbangan yang harus diberikan kepada tuan rumah.Jika mahal kad undangan yang diterima tetamu ,maka besarlah sumbangannya kepada tuan rumah.

Sebab itulah kebanyakan masyarakat melayu kini berharap mendapat pulangan yang lumayan hasil daripada sumbangan tetamu yang hadir ke majlis mereka.Cuba bayangkan jika yang hadir tidak memberi sumbangan kepada tuan rumah,maka akan ada runggutan dan cerita tentang sikap tetamu yang tidak memberi sumbangan peribadi.

Selesai sahaja urusan majlis walimah tuan yang mengadakan walimah sibuk pula membuka sampul yang dihulurkan untuk menghitung jumlah yang diperolehi untuk membayar segala perbelanjaan yang dibuat dalam majlis tersebut. Tujuannya supaya hasil kutipan dapat membawa keuntungan dan membawa pulangan. 

Keadaan ini sudah bertentangan dengan syariat Islam kerana tujuan walimah telah bertukar dari kenduri kepada berniaga. Situasi inilah yang selalu terjadi dalam masyarakat kita pada hari ini. Hal ini wujud kerana masyarakat kita kurang berkemampuan untuk mengadakan majlis walimah tetapi sangat terikut-ikut dengan keadaan persekitaran, takut dikatakan tidak sama dengan orang lain dan ketinggalan zaman. Pihak yang mengadakan majlis walimah tidak malu bersalaman dengan tetamu yang mengharapkan sumbangan dari tetamu tanpa mengira tetamu miskin atau kaya. Inilah masalah besar yang terjadi dalam masyarakat yang mengadakan majlis walimah pada hari ini. 

Inilah keadaan yang terjadi dalam majlis walimah kita pada hari. Untuk menjaga status manusia sanggup berbuat apa sahaja. 

Demikianlah beberapa contoh perkara-perkara mungkar dan tokok tambah yang pada masa ini begitu popular dilakukan di dalam masyarakat umat Islam Melayu di kebanyakkan majlis-majlis perkahwinan mereka.

Dengan itu, hendaklah kita berhati-hati dengan perkara-perkara seperti ini dan sentiasa berusaha dengan sedaya upaya menjauhinya. Walau bagaimana pun perkara-perkara mungkar seperti disebutkan berlaku dan dipopularkan sekali pun, ia tetap tidak dibenarkan menandingi apa yang telah disyariatkan dan dicontohkan oleh Nabi kita, Muhammad s.a.w. Dan sesungguhnya agama ini telah pun sempurna tanpa perlu ditokok tambah dengan pelbagai bentuk kehendak citarasa serta nafsu manusia.

Dan suatu yang paling penting di dalam beragama ini, bukanlah kata-kata dan perbuatan manusia yang menjadi ukuran, tetapi yang perlu kita tekankan adalah sejauh mana kita teguh di dalam sebuah pendirian di atas sebuah kebenaran yang ditegakkan di atas dalil-dalil dari perkataan Allah s.w.t dan petunjuk Rasulullah s.a.w.
 “Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu contoh tauladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak mengingat Allah.” (Surah al-Ahzaab, 33: 21)

Biarlah masyarakat sekeliling memanggil kita dengan panggilan cerewet atau berkira sekalipun, asalkan kita berpegang kepada Al-Quran dan Hadis, mereka yang mencaci adalah mereka yang jahil mengenai Islam.

Agama hendaklah didahulukan daripada Budaya, kerana dalam budaya belum pasti ada kebaikan dan kejayaan dari Allah s.w.t Tuhan Semesta Alam, Budaya adalah rekaan nenek moyang kita semata. Jangan tertipu dengan kata-kata "Biar mati anak, jangan mati adat" . Ada ketika kita terpaksa melawan adat, kerana bila beradat kita terpaksa melanggar perintah Tuhan, dan membuat larangan-Nya.

Bersama-samalah kita mencari redha dari Allah sebagaimana cara yang telah Dia tunjukkan melalui KitabNya dan RasulNya. Mulakanlah alam rumahtangga kita di atas keredhaanNya dan hindarilah dari kemurkaan-Nya.