Bermulanya cuti sekolah, maka semakin
banyaklah masing masing menerima kad undangan khenduri khawin atau walimatul
urus. Walimatul ‘arus ialah kenduri bagi meraikan atau merayakan pengantin
baru.
Mengadakan majlis walimah adalah sangat
digalakkan dalam Islam. Hukum mengadakan kenduri kahwin ini adalah sunat
muakkad (sangat dituntut) sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Kata Nabi s.a.w. kepada Abdul Rahman
bin Auf sewaktu beliau berkahwin, hendaklah kamu mengadakan kenduri kahwin
sekalipun hanya menyembelih seekor kambing”.
Mengadakan walimah ini bertujuan untuk
mengumumkan pernikahan di samping menggembirakan pengantin yang baru menjejaki
jinjang pelamin dan ia juga sebagai tanda kegembiraan orang tua kerana mendapat
menantu baru. Pengumuman yang sebaik-baiknya ialah majlis perkahwinan yang
diadakan di masjid dan dipukul gendang dan rebana.
Sabda Rasulullah saw:Maksudnya:“Umumkanlah
perkahwinan dan selenggarakanlah di masjid dan pukullah gendang dan rebana pada
hari perkahwinan itu.”
(Riwayat Ahmad dan Tirmizi)
Maka di sini timbullah sebuah persoalan,
iaitu sejauh manakah sebenarnya majlis perkahwinan yang benar-benar dianjurkan
oleh syariat sebagaimana yang ditunjukkan oleh Al-Quran dan As-Sunnah yang
sahih?
Adakah majlis perkahwinan itu perlu
diadakan dengan pelbagai aturcara seperti upacara sarung cincin, persandingan,
iringan muzik, dan sesi mengambil gambar (fotografi)?
Adakah bentuk-bentuk aturcara walimah
seperti ini benar-benar menepati kehendak syariat dan merupakan suatu yang
dibenarkan atau sebaliknya? Sekaligus, adakah tanpa semua upacara tersebut,
majlis walimah menjadi hambar dan tidak meriah?
Dengan memahami yang mana satu
adalah sunnah dan mana satu merupakan tokok tambah (bukan dari anjuran agama),
ia bakal membantu kita semua membezakan di antara keduanya berdasarkan ilmu.
Seterusnya kita akan berupaya menjadikan sebuah majlis perkahwinan kita,
anak-anak kita, dan keluarga baru kita sebagai sebuah majlis yang berhak
mendapat keberkahan dan redha dari Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan
memisahkannya dari apa yang tidak disyari’atkan.
Janganlah mencemarkan kenduri
dengan perkara yang bercanggah dengan syariat Islam. Pergaulan bebas lelaki dan
perempuan, membuka aurat , bersolek dan memakai
wangi-wangian bagi wanita, pertuturan keji dan lucah, mengkhususkan adanya cincin
perkahwinan, adat bersanding dan pelamin, menabur Gula-gula, coklat, dan bunga
, adat merenjis air mawar ,nyanyian dan tarian yang melalaikan,bersalaman
dengan bukan muhrim, senda gurau yang melampau adalah contoh beberapa situasi
yang sering berlaku dalam majlis kenduri kahwin.
Mewajibkan Adanya Duit dan
Barang Hantaran juga adalah merupaka satu amalan dalam masyarakat melayu dengan
mewajibkan pihak lelaki supaya membayar sejumlah wang yang dinamakan sebagai
wang hantaran kepada keluarga pihak perempuan. Kebiasaannya (pada masa ini)
sehingga RM10,000 atau lebih dari itu bergantung kepada status pendidikan atau
pun permintaan wanita yang hendak dinikahi. Nilai wang hantaran ini akan
ditetapkan oleh sama ada bakal isteri atau pihak keluarga bakal isteri. Sekali
imbas, perbuatan ini adalah seakan-akan sebuah perbuatan jual beli wanita. Dan
wang ini akan diserahkan kepada keluarga si isteri.
Dan kemudiannya, kedua-dua pihak
akan saling bertukar barang hantaran tertentu sesama mereka. Di mana mereka
mengkhususkan dengan jumlah bilangan tertentu, seperti 7 dulang dari lelaki
berbalas 10 dulang barangan tertentu dari pihak perempuan.
Ada pun sebenarnya perbuatan ini langsung tidak
pernah ditetapkan oleh Islam, dan perbuatan ini merupakan perbuatan bid’ah
iaitu amalan yang ditokok tambah ke dalam majlis walimah umat Islam. Adalah menjadi suatu yang sunnah
di dalam agama supaya memudahkan urusan pernikahan , tetapi, dengan ditambahnya
amalan-amalan seperti ini, ia hanya akan menyusahkan pasangan yang hendak
berkahwin dan ia sekaligus menggalakkan maksiat sekiranya perkahwinan
ditangguhkan hanya semata-mata disebabkan perkara yang karut ini.
Begitu juga dengan upacara
Memotong Kek Perkahwinan.Perbuatan ini juga bukan berasal dari syariat Islam,
bahkan berasal dari budaya orang kafir dari masyarakat Kristian. Malah ia juga
menyerupai atau mengambil syi’ar kaum Majusi (penyembah api) sekiranya kek
tersebut disertai dengan nyalaan lilin.
Kebanyakan pengantin pula
sanggup berbelanja besar untuk set pakaian,gambar dan pelamin yang mencecah
ribuan ringgit.Di dalam Islam, kita dituntut untuk bersederhana di dalam segala
perkara yang kita laksanakan. Kita juga tidak digalakkan untuk membazir dan
berlebih-lebihan.
Suatu yang kini semakin menjadi
trend di dalam masyarakat Melayu saat ini adalah menetapkan bahawa pasangan
pengantin di ketika majlis perkahwinan mereka mestilah memakai pakaian yang
sedondon seperti memakai pakaian yang sama warnanya dengan pasangan, memakai
pakaian yang mesti dilengkapi dengan tanjak, keris, dan bunga-bungaan. Jika
keadaan tersebut berlaku sebaliknya, di mana pasangan pengantin tidak
mengenakan set pakaian seperti itu, maka mereka pun akan dilihat sebagai janggal
dan diejek sebagai tidak mengenal atau tidak menghormati adat.
Ada pun sebenarnya penetapan seperti ini
adalah termasuk ke dalam perbuatan berlebih-lebihan dan boleh menjurus kepada
larangan agama. Cukuplah sekadar berpakaian dengan pakaian yang melambangkan
akhlak, imej, dan nilai-nilai Islam yang murni. Dan Islam itu bukanlah suatu
agama yang memberat-beratkan umatnya.
Allah s.w.t berfirman:
“Wahai anak Adam, sesungguhnya
Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutup auratmu dan pakaian indah
untuk perhiasan. Dan pakaian taqwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu
adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu
ingat.” (Surah al-A’raaf, 7: 26)
“Sesungguhnya Allah tidak
menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.” (Surah al-A’raaf, 7: 31)
Sesetengah tuan rumah pula sanggup
berhutang untuk memenuhi tuntutan masyarakat dengan mengadakan majlis walimah
secara besar besaran. Bayangkanlah jika jemputan walimah seramai seribu orang,
kos catering untuk satu kepala mungkin menelan belanja sebanyak RM 10, maka
sebanyak sepuluh ribu ringgit terpaksa dikeluarkan. Itu belum lagi kos kos lain
untuk melengkapkan kemeriahan yang hanya menjadi tuntutan budaya dan adat
sahaja..
Pihak tetamu tidak memikirkan bebanan yang
yang ditanggung oleh pihak yang mengadakan majlis. Mereka sanggup berhutang
daripada bank atau kaum keluarga terdekat dalam menyediakan majlis walimah ini.
Semua ini dilakukan supaya majlis walimah yang diadakan setanding dengan majlis
walimah orang lain. Mereka tidak mahu melihat cacat cela dalam majlis yang
diadakan walaupun pada dasarnya mereka kurang berkemampuan.
Pihak majlis juga menyediakan buah tangan
kepada tetamu. Beg berisi gula-gula, telur serta kuih-muih atau makanan ringan
disediakan.Seolah olah menjadi kewajipan dan satu kesalahan jika tidak membei
buah tangan kepada tetamu yang hadir.
Begitu juga dengan kad jemputan yang
pelbagai harga dan bentuk diberikan semasa mengundang tetamu. Kad undangan
terdiri daripada pelbagai harga hanyalah bertujuan memberitahu tarikh, alamat
dan nama pengantin supaya jemputan dapat hadir ke majlis yang diadakan tetapi
kad undangan yang diterima oleh tetamu sebenarnya menggambarkan jumlah
sumbangan yang harus diberikan kepada tuan rumah.Jika mahal kad undangan yang
diterima tetamu ,maka besarlah sumbangannya kepada tuan rumah.
Sebab itulah kebanyakan masyarakat melayu
kini berharap mendapat pulangan yang lumayan hasil daripada sumbangan tetamu
yang hadir ke majlis mereka.Cuba bayangkan jika yang hadir tidak memberi
sumbangan kepada tuan rumah,maka akan ada runggutan dan cerita tentang sikap
tetamu yang tidak memberi sumbangan peribadi.
Selesai sahaja urusan majlis walimah tuan
yang mengadakan walimah sibuk pula membuka sampul yang dihulurkan untuk
menghitung jumlah yang diperolehi untuk membayar segala perbelanjaan yang
dibuat dalam majlis tersebut. Tujuannya supaya hasil kutipan dapat membawa
keuntungan dan membawa pulangan.
Keadaan ini sudah
bertentangan dengan syariat Islam kerana tujuan walimah telah bertukar dari
kenduri kepada berniaga. Situasi inilah yang selalu terjadi dalam masyarakat
kita pada hari ini. Hal ini wujud kerana masyarakat kita kurang berkemampuan
untuk mengadakan majlis walimah tetapi sangat terikut-ikut dengan keadaan
persekitaran, takut dikatakan tidak sama dengan orang lain dan ketinggalan
zaman. Pihak yang mengadakan majlis walimah tidak malu bersalaman dengan tetamu
yang mengharapkan sumbangan dari tetamu tanpa mengira tetamu miskin atau kaya.
Inilah masalah besar yang terjadi dalam masyarakat yang mengadakan majlis
walimah pada hari ini.
Inilah keadaan yang terjadi dalam majlis
walimah kita pada hari. Untuk menjaga status manusia sanggup berbuat apa
sahaja.
Demikianlah beberapa contoh
perkara-perkara mungkar dan tokok tambah yang pada masa ini begitu popular
dilakukan di dalam masyarakat umat Islam Melayu di kebanyakkan majlis-majlis
perkahwinan mereka.
Dengan itu, hendaklah kita
berhati-hati dengan perkara-perkara seperti ini dan sentiasa berusaha dengan
sedaya upaya menjauhinya. Walau bagaimana pun perkara-perkara mungkar seperti
disebutkan berlaku dan dipopularkan sekali pun, ia tetap tidak dibenarkan
menandingi apa yang telah disyariatkan dan dicontohkan oleh Nabi kita, Muhammad
s.a.w. Dan sesungguhnya agama ini telah pun sempurna tanpa perlu ditokok tambah
dengan pelbagai bentuk kehendak citarasa serta nafsu manusia.
Dan suatu yang paling penting di
dalam beragama ini, bukanlah kata-kata dan perbuatan manusia yang menjadi
ukuran, tetapi yang perlu kita tekankan adalah sejauh mana kita teguh di dalam
sebuah pendirian di atas sebuah kebenaran yang ditegakkan di atas dalil-dalil
dari perkataan Allah s.w.t dan petunjuk Rasulullah s.a.w.
“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah
itu contoh tauladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat)
Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak mengingat Allah.” (Surah
al-Ahzaab, 33: 21)
Biarlah masyarakat sekeliling memanggil kita dengan panggilan cerewet atau berkira sekalipun, asalkan kita berpegang kepada Al-Quran dan Hadis, mereka yang mencaci adalah mereka yang jahil mengenai Islam.
Agama hendaklah didahulukan
daripada Budaya, kerana dalam budaya belum pasti ada kebaikan dan kejayaan dari
Allah s.w.t Tuhan Semesta Alam, Budaya adalah rekaan nenek moyang kita semata.
Jangan tertipu dengan kata-kata "Biar mati anak, jangan mati adat" . Ada ketika kita terpaksa
melawan adat, kerana bila beradat kita terpaksa melanggar perintah Tuhan, dan
membuat larangan-Nya.
Bersama-samalah kita mencari
redha dari Allah sebagaimana cara yang telah Dia tunjukkan melalui KitabNya dan
RasulNya. Mulakanlah alam rumahtangga kita di atas keredhaanNya dan hindarilah
dari kemurkaan-Nya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan