Selasa, 29 November 2011

Tutuplah Aurat mengikut Syariat Yang Betul..


Kita kini terlalu jauh dari tempoh waktu kenabian. Telah terlalu lama terpisah dari zaman salafussoleh yang amat menitikberatkan sifat wara’ dan berjaga-jaga dalam setiap tindakan, sehingga terlalu banyak ajaran dan aturan Islam yang dipandang asing dan remeh.

Antaranya persoalan tentang aurat wanita. Islam telah menetapkan kadar aurat yang perlu dijaga oleh wanita serta menggariskan syarat-syarat yang perlu dipatuhi dalam berpakaian. Aurat merupakan istilah Islam yang melambangkan sesuatu bahagian dari anggota badan, samada lelaki ataupun perempuan, yang haram dibuka atau dipamerkan. 

Dalam erti kata lain sesuatu anggota badan yang wajib ditutup dan disembunyikan dan haram orang bukan mahram melihatnya. Menutup aurat adalah wajib ke atas setiap Muslim, tidak kira lelaki atau perempuan. Kewajipan menutup aurat ini berdasarkan kepada dalil-dalil daripada Al-Quran dan Hadis.

Dewasa kini, bukan lagi sesuatu yang luar biasa,  wanita  berada di luar rumah tanpa batas, ke hulu dan hilir di depan lelaki ajnabi atau bersama-sama lelaki yang bukan mahram tanpa keperluan yang syar’i. Ditambah lagi, mereka keluar dengan mengenakan pakaian yang kurang sempurna , dan memperlihatkan pula keelokan paras rupa, keindahan anggota tubuh,  dan dandanan, serta semerbak aroma di badan. Keadaan ini telah menyebabkan wanita terlalu jauh dengan perintah Allah S.W.T dalam hal berkaitan menutup aurat dengan cara yang betul.

Berikut adalah pendapat mazhab Syafie berhubung dengan perkara menutup aurat:

1.Qaul pertama - semua anggota tubuh adalah aurat tanpa kecuali. Demikian menurut qaul yang paling sahih atau muktamad.

2. Qaul kedua - semua anggota tubuh adalah aurat kecuali muka dan dua tapak tangan. Walau bagaimanapun jika mendedahkannya boleh menimbulkan fitnah, maka wajib juga ditutup iaitu sebagai langkah menutup pintu fitnah.


Dalil aurat wanita

Suatu ketika, Rasulullah SAW pernah bersabda : Maksudnya : “Wanita itu aurat, maka bila ia keluar rumah, syaitan terus memandanginya (untuk menghias-hiasinya dalam pandangan lelaki sehingga terjadilah fitnah).” (Disahihkan oleh al-Imam al-Albani rahimahullah dalam Sahih at-Tirmidzi, al-Misykat no. 3109, dan al-Irwa’ no. 273. Dishahihkan pula oleh Al-Imam Muqbil ibnu Hadi Al-Wadi’i rahimahullahu dalam Ash-Shahihul Musnad, 2/36)

Umat Islam hari ini ramai yang terlepas pandang akan hadis Nabi SAW di atas. Jikapun ada yang mengetahuinya, tidak ramai yang dapat menerimanya dengan hati terbuka bersuluh iman kerana intipatinya yang tidak selari dengan hawa nafsu, bahkan mereka mendakwa ia hanya merendahkan-rendahkan kaum wanita, tidak lagi relevan dengan perkembangan zaman, dan kata-kata lain yang bermaksud penolakan. Allah S.W.T menjadikan semua ciptaanNya di bumi ini berpasang-pasangan. Paling indah ciptaanNya adalah variasi manusia yang terbahagi kepada lelaki dan perempuan. Sudah lumrah, lelaki dan perempuan akan tertarik antara satu sama lain ditambah lagi dengan godaan dari syaitan yang akan terus menyesatkan anak Adam sehingga ke hari Kiamat.

Oleh yang demikian, kerana perempuan adalah pasangan kepada lelaki, maka Allah telah menciptakan bentuk badan wanita itu dapat memikat hati lelaki. Bila berkata tentang terpikat, maka ia ada hubung kait dengan nafsu. Jika ia ada hubungkait dengan nafsu, ianya ada hubungan pula dengan bisikan syaitan. Jadi untuk mengawal nafsu, mestilah dikawal dengan iman. Untuk mendapatkan iman mesti menurut perintah Allah dan RasulNya dan menjauhi laranganNya. Justeru, tujuan utama untuk menutup aurat bukan sahaja bagi mengelak dari pandangan nakal lelaki tetapi juga demi mendapatkan keredhaan Allah S.W.T.

Firman Allah S.W.T, Maksudnya: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya." (Surah An Nur : Ayat 31)

Perkara pertama yang akan dilihat ialah rambut wanita.  Oleh kerana itulah wanita wajib menutup rambutnya. 
Apabila rambut wanita itu telah ditutup, maka mata yang melihat akan turun ke bawah melihat bentuk lehernya, wajiblah wanita itu menutup lehernya. 
Kemudian, mata itu akan turun lagi melihat bentuk payu daranya, maka wanita itu berkewajipanlah menutup bentuk payu daranya dengan melabuhkan tudungnya.
Setelah itu mata akan turun lagi melihat bentuk ramping pinggangnya, maka labuhkanlah pakaian supaya tidak ternampak bentuk pinggangnya. 
Seterusnya, mata itu akan melihat pula akan bentuk punggungnya, maka wajiblah wanita itu membesarkan pakaiannya agar bentuk punggung tidak kelihatan, dan akan dilihat pula bentuk pehanya, maka janganlah sesekali wanita itu memakai kain yang agak ketat sehingga terlihat bentuk pehanya walau sedikit.
Kemudian, akan dilihat lagi kepada kakinya, maka wajiblah wanita itu menutup kakinya dengan melabuhkan kain, atau memakai stoking yang warnanya jangan sesekali berwarna kulit perempuan. 

Seterusnya, mata yang melihat akan kembali ke atas, melihat pula bentuk tangan wanita itu, maka muslimah perlu melabuhkan tudung menutupi bentuk tangannya yang indah. Jika wanita itu cukup soleh, takut mukanya yang cantik akan menimbulkan fitnah, maka berpurdahlah jika itu lebih baik.

Tetapi mata yang melihat  akan tertangkap dengan sepontan jika ia terlihat warna yang menyerlah atau terang jika ianya berada pada perempuan. Maka jangan memakai pakaian yang warnanya terang-terangan sangat. Jangan anggap tugas kita telah selesai, perlulah pula kita menjaga kehormatan diri masing-masing, jangan keluar seorang-seorang,keluarlah dengan mahram, atau keluarlah berkumpulan agar tidak diganggu gangguan luar. Bagi lelaki pula, mata lelaki janganlah menjalar langsung kepada muslimah, walau muslimah itu telah menutup aurat, insyaAllah selamat dunia akhirat. Seperti firman Allah : Maksudnya:

"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah Al-Ahzab : Ayat 59)


Definisi aurat berdasarkan situasi
Aurat wanita sangat komplikated dan berubah mengikut situasi:
  • Dihadapan mahram(saudara lelaki rapat), seseorang wanita itu wajib menutup seluruh badannya kecuali kepala dan tangan.

  • Dihadapan sesama wanita muslim, aurat perempuan ialah diantara pusat hingga lutut.

  • Aurat dihadapan sesama wanita bukan Islam menjadi perdebatan. Sesetengah ilmuwan menyatakan wajib menutup seluruh anggota badan kecuali muka dan pergelangan tangan. Sementara, sesetengah ilmuwan lain berpendapat aurat perempuan muslim kepada bukan wanita bukan Islam ialah sama ketika mana mereka berada dengan sesama wanita Islam.

  • Aurat dihadapan lelaki yang tiada pertalian tidak kira Islam mahupun bukan Islam adalah menutup seluruh anggota badan kecuali muka dan tapak tangan.

  • Aurat ketika solat ialah wajib menutup seluruh anggota badan kecuali muka dan tapak tangan.

 
Syarat-syarat berpakaian bagi Muslimah

Firman Allah Taala bermaksud: “Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.” (Surah al-Nur: Ayat 31).

Maksud ‘kecuali yang zahir’ dalam ayat ini sebagaimana yang ditafsirkan Ibnu Abbas r.a. ialah wajah dan dua tapak tangan wanita. Aisyah melaporkan, Asma’ bint Abu Bakr telah masuk ke tempat Rasulullah s.a.w berada sedangkan dia memakai pakaian nipis. Rasulullah s.a.w lalu berpaling daripada memandangnya sambil berkata, “Wahai Asma’ sesungguhnya seorang wanita itu apabila telah baligh (haid) maka tidak boleh baginya menampakkan tubuhnya kecuali ini dan ini, seraya menunjukkan wajah dan telapak tangannya.” Hadis direkodkan olah Abu Dawud.

Dalil lain yang menunjukkan dua kaki adalah aurat ialah hadis yang dilaporkan olehUmmu Salamah. Dia pernah bertanya Rasulullah s.a.w, Apakah seorang wanita boleh menunaikan solat di dalam pakaian labuh dan tudungnya jika dia tidak mempunyai sarung? Nabi s.a.w menjawab “Asal pakaian labuh (jubah) itu sempurna dan menutupi zahir kedua kakinya.” Hadis direkodkan oleh Abu Dawud. Abu Dawud menyatakan sesetengah perawi hadis ini tidak menyebut ia daripada Rasulullah s.a.w tetapi dari Ummu Salamah sendiri.  Jika ia lafaz Ummu Salamah sekalipun, ia tetap menjadi dalil yang kuat memandangkan Ummu Salamah adalah isteri Rasulullah s.a.w. Sudah tentu Ummu Salamah mengamalkan perkara yang telah diketahui benar dari Rasulullah s.a.w itu sendiri. Abu Dawud dan Al-Tirmizhi merekodkan hadis daripada Aisyah r.a yang mengatakan, bahawa Rasulullah s.a.w berkata, “Allah tidak menerima solat wanita yang telah haid kecuali dengan mengenakan tudung”. Hadis ini menunjukkan wanita yang telah baligh wajib menutup seluruh kepalanya ketika mahu solat.  Imam Tirmizi mengulas hadis ini di dalam Jami’nya (kitab karya beliau), “Apabila wanita yang telah baligh dan mukallaf melakukan solat dan ada bahagian rambutnya terdedah, maka solatnya dianggap tidak sah”.

Kita berpakaian untuk melindungi tubuh, untuk nampak lebih berketerampilan, juga sebagai melaksanakan sunnah yang dianjurkan Islam. Namun tidak semua konsep berpakaian menepati syariat, malah ada ketikanya ia mendatangkan ‘bala’ pula kepada kita. Ini sama seperti pesan Rasulullah lewat hadis baginda;  Daripada Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Ada dua macam penghuni neraka yang kedua-duanya belum kelihatan olehku. Pertama, kaum yang memiliki cambuk seperti ekor sapi yang digunakan untuk memukul orang lain. Kedua, wanita yang berpakaian tetapi sama seperti telanjang (kerana pakaiannya tidak menutup aurat, nipis dan mendedahkan bahagian yang tidak sepatutnya dilihat bukan muhrim) dan wanita yang mudah dirayu dan juga suka merayu. Wanita tersebut tidak dapat masuk syurga, bahkan tidak dapat mencium bau syurga, padahal bau syurga itu dapat dicium dari jarak yang sangat jauh.” (Sahih Muslim).

Salah satu budaya malang yang menimpa wanita Islam dewasa kini ialah budaya berpakaian tetapi telanjang. Kebanyakan wanita hari ini berpakaian mengikut fesyen walaupun ada sesetengah fesyen yang dikenakan amat bertentangan dengan syariat Islam. Ada sesetengah wanita pula menyangkakan bahawa dengan bertudung, mereka sudah menutup aurat, sedangkan apa yang mereka sarungkan di tubuh badan mereka hanyalah pakaian yang nipis melayang ataupun yang ketat dan sendat seperti nangka dibalut dan nampakkan segala-galanya. Ada juga yang menenakan tudung tetapi menampakkan lengan. Sesetengahnya pula berbaju singkat hingga menampakkan seluar dalam, bentuk ‘V’ line dan lurah mereka.

Kenapa wajib menutup aurat? Jawapannya ada dalam al-Quran, Allah SWT telah berfirman yang bermaksud, “Hai Nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: "Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka." Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha pengampun lagi Maha penyayang.” (Surah al-Ahzab [033], ayat 59)

Ciri-ciri pakaian Muslimah:
1.      Tudung mestilah labuh menutupi dada dan tidak jarang atau nipis.
2.      Baju mestilah labuh dan longgar.
3.      Lengan baju panjang sehingga pergelangan tangan.
4.      Kain atau seluar yang dipakai mesti panjang sehingga ke buku lali (mata kaki).
5.      Kasut yang tidak berbunyi (sekiranya hendak memakai kasut yang bertumit tinggi, pastikan tumitnya diperbuat daripada getah)
6.      Memakai sarung kaki

Dalam urusan berdandan atau berhias-hiasan bagi golongan isteri juga haruslah dilakukan menepati syariat seperti mendapat izin suami terlebih dahulu. Ini ditegaskan Rasulullah SAW seperti yang diceritakan daripada Asma Abu Bakar mengenai seorang wanita yang datang bertanya kepada Rasulullah, “Saya mempunyai kemusykilan. Berdosakah kalau saya berdandan dengan harta suami yang belum diberikannya kepada saya?” Balas Rasulullah SAW, “Orang yang berdandan dengan apa yang belum diberikan suaminya, sama dengan memakai dua helai baju palsu (penuh dosa).” (Sahih Muslim).

   Peranan berpakaian dalam membentuk peribadi muslimah

ALLAH S.W.T memerintahkan agar wanita duduk diam di rumah jika tiada sebarang urusan yang berkehendakkan mereka perlu keluar, seperti menuntut ilmu, bekerja menambah ekonomi keluarga, mendapatkan rawatan atau nasihat perundingan dan lain-lain yang diizinkan agama, dengan manfaat agar nilai dan harga diri wanita sebagai perhiasan dunia yang indah dapat terus dipelihara. 

Firman-NYA : Maksudnya:"Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang Jahiliyah yang dahulu dan dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan taatilah Allah dan Rasul-Nya. Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan dosa dari kamu, hai ahlul bait dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya." ( Surah al Ahzab ayat 33 )

Walaupun zahir ayat ini ditujukan kepada para isteri Nabi SAW, namun wanita selain mereka perlu mentadabbur ayat ini dan mengambil sudut manfaat serta maknanya. Wajar difahami bahawa maksud dari ayat ini bukan untuk membatasi ruang gerak seorang perempuan atau mengurangi peranannya di dalam masyarakat, tetapi hakikat dan maksudnya adalah untuk mengatur bagaimana seorang perempuan tatkala keluar dari sempadan rumahtangganya agar tetap selari mengikut syari'at agama. Allah SWT juga mengingatkan : 

Maksudnya : “Hai anak Adam! Janganlah kamu sekali-kali dapat ditipu oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapamu dari syurga, ia menanggalkan dari keduanya pakaiannya untuk memperlihatkan kepada keduanya aurat mereka.” ( Surah Al-A’raf ayat 27 ).
Fitrah seorang wanita pastinya ingin tampil mempesona dan akan tertarik dengan busana yang sungguh indah dan cantik di mata. Semua wanita mempunyai keinginan itu. Cuma, wanita bergelar Muslimah perlulah memahami dan meneliti setiap tindak tanduk mereka. Menggunakan kecerdasan akal yang dikurniakan oleh Allah Yang Maha Esa untuk lebih bijak menggunakan kecantikan bagi mencapai matlamat yang benar. Kecantikan dan perhiasan yang ada pada mereka, tidak lebih dari hanya sebuah ‘alat’, bukan tujuan.

Andai betul dan benar bawaan kita dalam menggunakan alat itu, maka besar pula potensi kita mencapai tujuan. Sebaliknya, jika salah bawaan kita, walau sedikit sahaja, maka ‘alat’ itu tidak lagi memberikan manfaat dan kebaikan, bahkan ia boleh berubah menjadi gunting dalam lipatan. Atau lebih buruk dari itu, ia menjadi senjata makan tuan.


Lihatlah sekeliling kita dengan penuh keinsafan dan rasa belas seorang perempuan, bagaimana sejumlah wanita Muslimah yang telah tersasar menggunakan kecantikan yang dianugerahkan. Gadis remaja bersaing untuk kelihatan paling menawan, wanita dewasa saling berlumba untuk kelihatan cantik bergaya. Kesannya, gejala seks bebas kian melata akibat dari wanita tidak menjaga penampilan dan lelaki semakin sukar memelihara pandangan. Ditambah lagi dengan kemunculan wanita-wanita penggoda yang menyebabkan rumahtangga wanita lain berantakan dan lain-lain lagi. Semua itu ada mukadimah atau rangsangannya dan antara mukadimah itu ialah bertabarruj. Lihatlah betapa besarnya peranan pakaian Muslimah dalam membentuk peribadi juga generasi.

Justeru itu, Islam menggesa kaum wanita agar memelihara dirinya dari kecantikan yang memperdayakan dan mengarah kaum lelaki supaya tidak melihat kaum wanita dengan pandangan yang bersumber dari syaitan. Allah SWT berfirman: Maksudnya : “Katakanlah kepada kaum lelaki daripada golongan yang beriman, hendaklah mereka mengawal penglihatan mereka dan menjaga kehormatan kemaluan mereka.” ( Surah an-Nur ayat 30 ).

Kerana itu, perlu ditegaskan bahawa tujuan seorang wanita berhias cantik adalah untuk menambah kasih dan cinta lelaki bernama suami, menghangatkan ikatan yang telah dihalalkan atas nama Tuhan Yang Maha Esa. Dan akhir dari itu semua pastilah demi mencapai kesejahteraan dan keredhaan-Nya. Akhirnya, insafilah, bahawa ketika ini musuh-musuh Islam begitu memerhatikan kedudukan wanita Islam dan kepada siapa dia dapat memberikan pengaruhnya. Seorang Muslimah itu, hidupnya adalah sebagai seorang ibu, sekaligus sebagai guru dan pembangun generasi yang makmur dan padu. 

Justeru itu, mereka berusaha sedaya upaya untuk menghancurkan moral dan akhlak Muslimah, merentap ‘pakaian’ Deen yang benar, mengoyak ‘hayaa’ ( rasa malu ) dari menutupi tubuh badan, fikiran dan tindakan mereka sehingga kesannya nanti, moral dan akhlak anak-anak Muslim, pembangun masa depan sebagai tiang-tiang ummat, akan turut hancur dan rosak.

Jika keadaan ini dibiarkan berterusan tanpa rawatan, kelak tiang ini akan hancur lunyai bak dimakan anai-anai. Hilanglah kekuatan Ummah. Generasi pewaris semakin lemah, maka apa yang akan terjadi pada masa depan umat Islam? Mungkinkah hanya tinggal sejarah? Tidakkah sebak di hati kita membayangkan ummat Islam di zaman Rasul dan salafussoleh, mereka cemerlang dan tinggi di mata dunia kerana meletakkan kebenaran menguasai hawa nafsu. Berbanding kita hari ini, semakin lemah dan diperlekeh kerana nafsu merajai kebenaran sehingga sanggup mengenepikan wahyu dan aturan Tuhan.

Oleh itu, marilah kita bersama-sama, dalam menghadapi situasi yang gawat dan kritis ini, untuk kembali kepada kehendak Allah SWT yang menginginkan agar manusia berusaha mengendalikan hawa nafsu berwahanakan ilmu. Ilmu yang yang diwariskan oleh Junjungan kita, Nabi Muhammad SAW kepada para sahabat, tabi’in, tabi’ al-tabi’in, dan para ulama yang sentiasa prihatin dengan ajaran dan sunnah Rasul-Nya.

Semoga Allah SWT mengurniakan manfaat yang ada padanya dan mengalirkan kesannya pada hati dan jiwa kita dengan kedamaian, ketenangan dan kebahagiaan. Ketahuilah, kita kini umpama berdiri di satu pelabuhan kehidupan, sedang menunggu kapal yang akan membawa kita ke destinasi terakhir di sebuah dataran besar, iaitu akhirat yang lebih kekal. Tingkatkan ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya dan carilah apa yang menyenangkan Allah bagi memungkinkan kita meraih komoditi yang tidak terbanding nilaiannya. Bahawa kita semua punya harapan untuk Al- Jannah. Syurga yang tersedia untuk golongan yang benar-benar beriman dan bertaqwa kepada Allah. Firman Allah S.W.T, Maksudnya:

Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu dan pakaian perhiasan dan pakaian yang berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur). (Surah Al-A’raaf : Ayat 26)












Tiada ulasan:

Catat Ulasan