Rabu, 30 November 2011
Selasa, 29 November 2011
Travelog Muharam
Salam Muharam,
26 november 2011
Kami sekeluarga
bersama mak tersayang bertolak ke cenderong balai untuk meraikan majlis
perkahwinan sepupu Aizuddin Abd Razak.Alhamdulillah kami bertolak dari Sabak
Bernam pada jam 10.00 pagi dan kami singgah di masjid simpang empat pada jam 11.30
tengahari.Di mulai dengan solat tahiyatul masjid.Semoga mendapat barakah.
Di masjid tempat
pengantin lelaki berandah…tidak di rumah yang selalunya di buat oleh kebanyakan
pengantin lelaki…tiada mak andam yang membawa beg solekan dan persalinan baju
yang pelbagai. Cukup hanya sepasang baju pengantin.
Pukul 12
tengahari kami bertolak ke rumah pengantin perempuan..dan kami menjamu selera
di khemah tetamu yang disediakan…selamat penganti baru aizuddin….semoga dalam
rahmat dan barakah Allah SWT.
3.00 petang,
bertolak ke rumah Hj Mohammad untuk meraikan majlis doa selamat dan aqiqah anaknya
pada malam harinya di Taman SS1 Ipoh Perak.Suasana taman perumahan yang cukup mendamaikan
hati. Ramai kakitangan kerajaan menetap di taman ini.
Yang menariknya ialah
pusat aktiviti taman iaitu surau yang terletak di tengah tengah kawasan taman
perumahan yang cukup aktif memainkan peranan dalam menyatukan hubungan sesama manusia
dalam mencari keredhaan Allah.
6.30 petang…ramai
penduduk taman telah memenuhi ruang surau untuk majlis bacaan yaasin dan doa
akhir tahun di sertai dengan tazkirah pendek dan bacaan doa awal tahun 1433 H
apabila telah masuk waktu maghrib.
Kami solat berjamaah maghrib kemudian disusuli
dengan tahlil dan doa selamat.Satu situasai yang menarik di taman perumahan ini
ialah majlis khenduri tahlil atau doa selamat akan diadakan disurau sahaja.
Majlis
pun dapat diadakan dalam keadaan yang cukup tenang tanpa gangguan hiruk piruk
suasana khenduri yang biasa di adakan di tempat tempat lain.
Tidak ada majlis
cukur kepala bayi dan berendoi seperti yang biasa diadakan di kebanyakan
tempat.Itu semua hanya budaya yang telah meresap kedalam jiwa masyarakat
melayu.
Selesai
menunaikan solat isyak berjamaah,tetamu di jemput ke rumah Hj Mohammad untuk
menikmati jamuan.Kami dijamu dengan kambing panggang pada malam itu.Alhamdulilah
semua tetamu dapat menikmati jamuan dalam kedaan yang selesa.
Sesuatu yang
menarik untuk saya simpulkan ialah jangan kita ketepikan soal hubungan kita
dengan Maha pencipta hanya untuk mengukuhkan hubungan sesama manusia.Banyak
perkara yang diadakan sekarang hanya semata mata adat dan budaya sahaja.
Kemampuan
penduduk di taman perumahan ini mewujudkan suasana hubungan sesama manusia disamping sentiasa mewujudkan amalan yang
selari dengan kehendak agama Islam sepatutnya dijadikan contoh oleh penduduk di
tempat lain.
Jangan jadikan adat
dan budaya yang bercanggah dengan Agama Islam menjadi kebimbangan jika tidak
dilakukan. Biarlah masyarakat sekeliling memanggil kita dengan panggilan
cerewet atau berkira sekalipun, asalkan kita berpegang kepada Al-Quran dan
Hadis, mereka yang mencaci adalah mereka yang jahil mengenai Islam.
Agama hendaklah
didahulukan daripada Budaya, kerana dalam budaya belum pasti ada kebaikan dan
kejayaan dari Allah s.w.t Tuhan Semesta Alam, Budaya adalah rekaan nenek moyang
kita semata. Jangan tertipu dengan kata-kata "Biar mati anak, jangan mati
adat" . Ada
ketika kita terpaksa melawan adat, kerana bila beradat kita terpaksa melanggar
perintah Tuhan, dan membuat larangan-Nya.
Tutuplah Aurat mengikut Syariat Yang Betul..
Kita kini terlalu jauh dari tempoh waktu kenabian. Telah terlalu
lama terpisah dari zaman salafussoleh yang amat menitikberatkan sifat wara’ dan
berjaga-jaga dalam setiap tindakan, sehingga terlalu banyak ajaran dan aturan
Islam yang dipandang asing dan remeh.
Antaranya persoalan tentang aurat wanita. Islam telah menetapkan kadar aurat yang perlu
dijaga oleh wanita serta menggariskan syarat-syarat yang perlu dipatuhi dalam
berpakaian. Aurat merupakan istilah Islam yang melambangkan sesuatu bahagian dari anggota
badan, samada lelaki ataupun perempuan, yang haram dibuka atau dipamerkan.
Dalam erti kata lain sesuatu anggota badan yang wajib ditutup dan disembunyikan
dan haram orang bukan mahram melihatnya. Menutup aurat adalah wajib ke atas setiap
Muslim, tidak kira lelaki atau perempuan. Kewajipan menutup aurat ini
berdasarkan kepada dalil-dalil daripada Al-Quran dan Hadis.
Dewasa
kini, bukan lagi sesuatu yang luar biasa, wanita berada di luar rumah tanpa batas, ke hulu dan
hilir di depan lelaki ajnabi atau bersama-sama lelaki yang bukan mahram tanpa
keperluan yang syar’i. Ditambah lagi, mereka keluar dengan mengenakan pakaian yang
kurang sempurna , dan memperlihatkan pula keelokan paras rupa, keindahan anggota
tubuh, dan dandanan, serta semerbak
aroma di badan. Keadaan ini telah menyebabkan wanita
terlalu jauh dengan perintah Allah S.W.T dalam hal berkaitan menutup aurat
dengan cara yang betul.
Berikut adalah pendapat mazhab Syafie
berhubung dengan perkara menutup aurat:
1.Qaul pertama - semua anggota tubuh adalah aurat tanpa kecuali. Demikian menurut qaul yang paling sahih atau muktamad.
2. Qaul kedua - semua anggota tubuh adalah aurat kecuali muka dan dua tapak tangan. Walau bagaimanapun jika mendedahkannya boleh menimbulkan fitnah, maka wajib juga ditutup iaitu sebagai langkah menutup pintu fitnah.
Dalil
aurat wanita
Suatu ketika, Rasulullah
SAW pernah bersabda : Maksudnya : “Wanita
itu aurat, maka bila ia keluar rumah, syaitan terus memandanginya (untuk
menghias-hiasinya dalam pandangan lelaki sehingga terjadilah fitnah).”
(Disahihkan oleh al-Imam al-Albani rahimahullah dalam Sahih at-Tirmidzi,
al-Misykat no. 3109, dan al-Irwa’ no. 273. Dishahihkan pula oleh Al-Imam Muqbil
ibnu Hadi Al-Wadi’i rahimahullahu dalam Ash-Shahihul Musnad, 2/36)
Umat Islam hari ini
ramai yang terlepas pandang akan hadis Nabi SAW di atas. Jikapun ada yang
mengetahuinya, tidak ramai yang dapat menerimanya dengan hati terbuka bersuluh
iman kerana intipatinya yang tidak selari dengan hawa nafsu, bahkan mereka
mendakwa ia hanya merendahkan-rendahkan kaum wanita, tidak lagi relevan dengan
perkembangan zaman, dan kata-kata lain yang bermaksud penolakan. Allah S.W.T
menjadikan semua ciptaanNya di bumi ini berpasang-pasangan. Paling indah
ciptaanNya adalah variasi manusia yang terbahagi kepada lelaki dan perempuan. Sudah
lumrah, lelaki dan perempuan akan tertarik antara satu sama lain ditambah lagi
dengan godaan dari syaitan yang akan terus menyesatkan anak Adam sehingga ke
hari Kiamat.
Oleh yang demikian, kerana
perempuan adalah pasangan kepada lelaki, maka Allah telah menciptakan bentuk
badan wanita itu dapat memikat hati lelaki. Bila berkata tentang terpikat, maka
ia ada hubung kait dengan nafsu. Jika ia ada hubungkait dengan nafsu, ianya ada hubungan pula dengan bisikan syaitan. Jadi untuk mengawal nafsu,
mestilah dikawal dengan iman. Untuk mendapatkan iman mesti menurut perintah Allah dan RasulNya dan menjauhi laranganNya. Justeru, tujuan utama untuk
menutup aurat bukan sahaja bagi mengelak dari pandangan nakal lelaki tetapi
juga demi mendapatkan keredhaan Allah S.W.T.
Firman Allah S.W.T, Maksudnya: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang
beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan
memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan
tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup
belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka
memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa
mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri
mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang
lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan
Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang
telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan kanak-kanak yang belum
mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki
untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan
bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya
kamu berjaya." (Surah An Nur : Ayat 31)
Perkara pertama yang
akan dilihat ialah rambut wanita. Oleh
kerana itulah wanita wajib menutup rambutnya.
Apabila rambut wanita itu telah
ditutup, maka mata yang melihat akan turun ke bawah melihat bentuk lehernya, wajiblah
wanita itu menutup lehernya.
Kemudian, mata itu akan turun lagi melihat bentuk
payu daranya, maka wanita itu berkewajipanlah menutup bentuk payu daranya
dengan melabuhkan tudungnya.
Setelah itu mata akan turun lagi melihat bentuk
ramping pinggangnya, maka labuhkanlah pakaian supaya tidak ternampak bentuk
pinggangnya.
Seterusnya, mata itu akan melihat pula akan bentuk punggungnya,
maka wajiblah wanita itu membesarkan pakaiannya agar bentuk punggung tidak
kelihatan, dan akan dilihat pula bentuk pehanya, maka janganlah sesekali wanita
itu memakai kain yang agak ketat sehingga terlihat bentuk pehanya walau
sedikit.
Kemudian, akan dilihat lagi kepada kakinya, maka wajiblah wanita itu
menutup kakinya dengan melabuhkan kain, atau memakai stoking yang warnanya jangan
sesekali berwarna kulit perempuan.
Seterusnya, mata yang melihat akan kembali
ke atas, melihat pula bentuk tangan wanita itu, maka muslimah perlu melabuhkan tudung
menutupi bentuk tangannya yang indah. Jika wanita itu cukup soleh, takut
mukanya yang cantik akan menimbulkan fitnah, maka berpurdahlah jika itu lebih baik.
Tetapi mata yang melihat
akan tertangkap dengan sepontan jika ia
terlihat warna yang menyerlah atau terang jika ianya berada pada perempuan. Maka
jangan memakai pakaian yang warnanya terang-terangan sangat. Jangan anggap tugas
kita telah selesai, perlulah pula kita menjaga kehormatan diri masing-masing, jangan
keluar seorang-seorang,keluarlah dengan mahram, atau keluarlah berkumpulan agar
tidak diganggu gangguan luar. Bagi lelaki pula, mata lelaki janganlah menjalar
langsung kepada muslimah, walau muslimah itu telah menutup aurat, insyaAllah
selamat dunia akhirat. Seperti firman Allah : Maksudnya:
"Wahai
Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta
perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup
seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk
mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak
diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihani." (Surah Al-Ahzab : Ayat 59)
Definisi
aurat berdasarkan situasi
Aurat wanita sangat
komplikated dan berubah mengikut situasi:
- Dihadapan mahram(saudara lelaki rapat), seseorang wanita itu wajib menutup seluruh badannya kecuali kepala dan tangan.
- Dihadapan sesama wanita muslim, aurat perempuan ialah diantara pusat hingga lutut.
- Aurat dihadapan sesama wanita bukan Islam menjadi perdebatan. Sesetengah ilmuwan menyatakan wajib menutup seluruh anggota badan kecuali muka dan pergelangan tangan. Sementara, sesetengah ilmuwan lain berpendapat aurat perempuan muslim kepada bukan wanita bukan Islam ialah sama ketika mana mereka berada dengan sesama wanita Islam.
- Aurat dihadapan lelaki yang tiada pertalian tidak kira Islam mahupun bukan Islam adalah menutup seluruh anggota badan kecuali muka dan tapak tangan.
- Aurat ketika solat ialah wajib menutup seluruh anggota badan kecuali muka dan tapak tangan.
Syarat-syarat
berpakaian bagi Muslimah
Firman Allah Taala bermaksud: “Dan janganlah mereka memperlihatkan
perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.” (Surah al-Nur: Ayat
31).
Maksud ‘kecuali yang
zahir’ dalam ayat ini sebagaimana yang ditafsirkan Ibnu Abbas r.a. ialah wajah
dan dua tapak tangan wanita. Aisyah melaporkan, Asma’ bint Abu Bakr telah masuk
ke tempat Rasulullah s.a.w berada sedangkan dia memakai pakaian nipis.
Rasulullah s.a.w lalu berpaling daripada memandangnya sambil berkata, “Wahai Asma’ sesungguhnya seorang wanita itu
apabila telah baligh (haid) maka tidak boleh baginya menampakkan tubuhnya
kecuali ini dan ini, seraya menunjukkan wajah dan telapak tangannya.” Hadis
direkodkan olah Abu Dawud.
Dalil lain
yang menunjukkan dua kaki adalah aurat ialah hadis yang dilaporkan olehUmmu Salamah. Dia pernah
bertanya Rasulullah s.a.w, Apakah seorang wanita boleh menunaikan solat di
dalam pakaian labuh dan tudungnya jika dia tidak mempunyai sarung? Nabi s.a.w
menjawab “Asal pakaian labuh (jubah) itu
sempurna dan menutupi zahir kedua kakinya.” Hadis direkodkan oleh Abu
Dawud. Abu Dawud menyatakan sesetengah perawi hadis ini tidak menyebut ia
daripada Rasulullah s.a.w tetapi dari Ummu Salamah sendiri. Jika ia lafaz Ummu Salamah sekalipun, ia
tetap menjadi dalil yang kuat memandangkan Ummu Salamah adalah isteri
Rasulullah s.a.w. Sudah tentu Ummu Salamah mengamalkan perkara yang telah diketahui
benar dari Rasulullah s.a.w itu sendiri. Abu Dawud dan Al-Tirmizhi merekodkan
hadis daripada Aisyah r.a yang mengatakan, bahawa Rasulullah s.a.w berkata, “Allah tidak menerima solat wanita yang telah
haid kecuali dengan mengenakan tudung”. Hadis ini menunjukkan wanita yang
telah baligh wajib menutup seluruh kepalanya ketika mahu solat. Imam Tirmizi mengulas hadis ini di dalam
Jami’nya (kitab karya beliau), “Apabila
wanita yang telah baligh dan mukallaf melakukan solat dan ada bahagian
rambutnya terdedah, maka solatnya dianggap tidak sah”.
Kita berpakaian untuk
melindungi tubuh, untuk nampak lebih berketerampilan, juga sebagai melaksanakan
sunnah yang dianjurkan Islam. Namun tidak semua konsep berpakaian menepati
syariat, malah ada ketikanya ia mendatangkan ‘bala’ pula kepada kita. Ini sama seperti
pesan Rasulullah lewat hadis baginda; Daripada
Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Ada dua macam penghuni neraka yang kedua-duanya
belum kelihatan olehku. Pertama, kaum yang memiliki cambuk seperti ekor sapi
yang digunakan untuk memukul orang lain. Kedua, wanita yang berpakaian tetapi
sama seperti telanjang (kerana pakaiannya tidak menutup aurat, nipis dan
mendedahkan bahagian yang tidak sepatutnya dilihat bukan muhrim) dan wanita
yang mudah dirayu dan juga suka merayu. Wanita tersebut tidak dapat masuk
syurga, bahkan tidak dapat mencium bau syurga, padahal bau syurga itu dapat
dicium dari jarak yang sangat jauh.” (Sahih Muslim).
Salah satu budaya malang yang menimpa wanita
Islam dewasa kini ialah budaya berpakaian tetapi telanjang. Kebanyakan wanita
hari ini berpakaian mengikut fesyen walaupun ada sesetengah fesyen yang
dikenakan amat bertentangan dengan syariat Islam. Ada sesetengah wanita pula menyangkakan
bahawa dengan bertudung, mereka sudah menutup aurat, sedangkan apa yang mereka
sarungkan di tubuh badan mereka hanyalah pakaian yang nipis melayang ataupun
yang ketat dan sendat seperti nangka dibalut dan nampakkan segala-galanya. Ada juga yang menenakan tudung
tetapi menampakkan lengan. Sesetengahnya pula berbaju singkat hingga menampakkan
seluar dalam, bentuk ‘V’ line dan lurah mereka.
Kenapa wajib menutup
aurat? Jawapannya ada dalam al-Quran, Allah SWT telah berfirman yang bermaksud,
“Hai Nabi katakanlah kepada isteri-isterimu,
anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: "Hendaklah mereka
mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka." Yang demikian itu supaya
mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah
adalah Maha pengampun lagi Maha penyayang.” (Surah al-Ahzab [033], ayat 59)
Ciri-ciri pakaian Muslimah:
1. Tudung mestilah labuh menutupi dada dan tidak jarang atau
nipis.
2. Baju mestilah labuh dan longgar.
3. Lengan baju panjang sehingga pergelangan tangan.
4. Kain atau seluar yang dipakai mesti panjang sehingga ke buku
lali (mata kaki).
5. Kasut yang tidak berbunyi (sekiranya hendak memakai kasut
yang bertumit tinggi, pastikan tumitnya diperbuat daripada getah)
6. Memakai sarung kaki
Dalam urusan berdandan
atau berhias-hiasan bagi golongan isteri juga haruslah dilakukan menepati
syariat seperti mendapat izin suami terlebih dahulu. Ini ditegaskan Rasulullah
SAW seperti yang diceritakan daripada Asma Abu Bakar mengenai seorang wanita
yang datang bertanya kepada Rasulullah, “Saya
mempunyai kemusykilan. Berdosakah kalau saya berdandan dengan harta suami yang
belum diberikannya kepada saya?” Balas Rasulullah SAW, “Orang yang berdandan dengan apa yang belum
diberikan suaminya, sama dengan memakai dua helai baju palsu (penuh dosa).”
(Sahih Muslim).
Peranan
berpakaian dalam membentuk peribadi muslimah
ALLAH S.W.T memerintahkan agar wanita duduk
diam di rumah jika tiada sebarang urusan yang berkehendakkan mereka perlu
keluar, seperti menuntut ilmu, bekerja menambah ekonomi keluarga, mendapatkan
rawatan atau nasihat perundingan dan lain-lain yang diizinkan agama, dengan
manfaat agar nilai dan harga diri wanita sebagai perhiasan dunia yang indah
dapat terus dipelihara.
Firman-NYA : Maksudnya:"Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan
bertingkah laku seperti orang-orang Jahiliyah yang dahulu dan dirikanlah solat,
tunaikanlah zakat dan taatilah Allah dan Rasul-Nya. Sesungguhnya Allah
bermaksud hendak menghilangkan dosa dari kamu, hai ahlul bait dan membersihkan
kamu sebersih-bersihnya." ( Surah al Ahzab ayat 33 )
Walaupun zahir ayat ini ditujukan kepada
para isteri Nabi SAW, namun wanita selain mereka perlu mentadabbur ayat ini dan
mengambil sudut manfaat serta maknanya. Wajar difahami bahawa maksud dari ayat
ini bukan untuk membatasi ruang gerak seorang perempuan atau mengurangi
peranannya di dalam masyarakat, tetapi hakikat dan maksudnya adalah untuk
mengatur bagaimana seorang perempuan tatkala keluar dari sempadan
rumahtangganya agar tetap selari mengikut syari'at agama. Allah SWT juga
mengingatkan :
Maksudnya : “Hai
anak Adam! Janganlah kamu sekali-kali dapat ditipu oleh syaitan sebagaimana ia
telah mengeluarkan kedua ibu bapamu dari syurga, ia menanggalkan dari keduanya
pakaiannya untuk memperlihatkan kepada keduanya aurat mereka.” (
Surah Al-A’raf ayat 27 ).
Fitrah seorang wanita pastinya ingin tampil
mempesona dan akan tertarik dengan busana yang sungguh indah dan cantik di
mata. Semua wanita mempunyai keinginan itu. Cuma, wanita bergelar Muslimah perlulah
memahami dan meneliti setiap tindak tanduk mereka. Menggunakan kecerdasan akal
yang dikurniakan oleh Allah Yang Maha Esa untuk lebih bijak menggunakan
kecantikan bagi mencapai matlamat yang benar. Kecantikan dan perhiasan yang ada pada
mereka, tidak lebih dari hanya sebuah ‘alat’, bukan tujuan.
Andai betul dan benar bawaan kita dalam
menggunakan alat itu, maka besar pula potensi kita mencapai tujuan. Sebaliknya,
jika salah bawaan kita, walau sedikit sahaja, maka ‘alat’ itu tidak lagi
memberikan manfaat dan kebaikan, bahkan ia boleh berubah menjadi gunting dalam
lipatan. Atau lebih buruk dari itu, ia menjadi senjata makan tuan.
Lihatlah sekeliling kita dengan penuh keinsafan dan rasa belas seorang perempuan, bagaimana sejumlah wanita Muslimah yang telah tersasar menggunakan kecantikan yang dianugerahkan. Gadis remaja bersaing untuk kelihatan paling menawan, wanita dewasa saling berlumba untuk kelihatan cantik bergaya. Kesannya, gejala seks bebas kian melata akibat dari wanita tidak menjaga penampilan dan lelaki semakin sukar memelihara pandangan. Ditambah lagi dengan kemunculan wanita-wanita penggoda yang menyebabkan rumahtangga wanita lain berantakan dan lain-lain lagi. Semua itu ada mukadimah atau rangsangannya dan antara mukadimah itu ialah bertabarruj. Lihatlah betapa besarnya peranan pakaian Muslimah dalam membentuk peribadi juga generasi.
Lihatlah sekeliling kita dengan penuh keinsafan dan rasa belas seorang perempuan, bagaimana sejumlah wanita Muslimah yang telah tersasar menggunakan kecantikan yang dianugerahkan. Gadis remaja bersaing untuk kelihatan paling menawan, wanita dewasa saling berlumba untuk kelihatan cantik bergaya. Kesannya, gejala seks bebas kian melata akibat dari wanita tidak menjaga penampilan dan lelaki semakin sukar memelihara pandangan. Ditambah lagi dengan kemunculan wanita-wanita penggoda yang menyebabkan rumahtangga wanita lain berantakan dan lain-lain lagi. Semua itu ada mukadimah atau rangsangannya dan antara mukadimah itu ialah bertabarruj. Lihatlah betapa besarnya peranan pakaian Muslimah dalam membentuk peribadi juga generasi.
Justeru itu, Islam menggesa kaum wanita
agar memelihara dirinya dari kecantikan yang memperdayakan dan mengarah kaum
lelaki supaya tidak melihat kaum wanita dengan pandangan yang bersumber dari
syaitan. Allah SWT berfirman: Maksudnya : “Katakanlah kepada kaum lelaki daripada golongan yang beriman, hendaklah
mereka mengawal penglihatan mereka dan menjaga kehormatan kemaluan mereka.”
( Surah an-Nur ayat 30 ).
Kerana itu, perlu ditegaskan bahawa tujuan seorang
wanita berhias cantik adalah untuk menambah kasih dan cinta lelaki bernama
suami, menghangatkan ikatan yang telah dihalalkan atas nama Tuhan Yang Maha
Esa. Dan akhir dari itu semua pastilah demi mencapai kesejahteraan dan
keredhaan-Nya. Akhirnya, insafilah, bahawa ketika ini musuh-musuh Islam begitu
memerhatikan kedudukan wanita Islam dan kepada siapa dia dapat memberikan
pengaruhnya. Seorang Muslimah itu, hidupnya adalah sebagai seorang ibu,
sekaligus sebagai guru dan pembangun generasi yang makmur dan padu.
Justeru itu, mereka berusaha sedaya upaya
untuk menghancurkan moral dan akhlak Muslimah, merentap ‘pakaian’ Deen
yang benar, mengoyak ‘hayaa’ ( rasa malu ) dari menutupi tubuh badan,
fikiran dan tindakan mereka sehingga kesannya nanti, moral dan akhlak anak-anak
Muslim, pembangun masa depan sebagai tiang-tiang ummat, akan turut hancur dan
rosak.
Jika keadaan ini dibiarkan berterusan tanpa rawatan, kelak tiang ini
akan hancur lunyai bak dimakan anai-anai. Hilanglah kekuatan Ummah. Generasi
pewaris semakin lemah, maka apa yang akan terjadi pada masa depan umat Islam?
Mungkinkah hanya tinggal sejarah? Tidakkah sebak di hati kita membayangkan
ummat Islam di zaman Rasul dan salafussoleh, mereka cemerlang dan tinggi di
mata dunia kerana meletakkan kebenaran menguasai hawa nafsu. Berbanding kita
hari ini, semakin lemah dan diperlekeh kerana nafsu merajai kebenaran sehingga
sanggup mengenepikan wahyu dan aturan Tuhan.
Oleh itu, marilah kita bersama-sama, dalam
menghadapi situasi yang gawat dan kritis ini, untuk kembali kepada kehendak
Allah SWT yang menginginkan agar manusia berusaha mengendalikan hawa nafsu
berwahanakan ilmu. Ilmu yang yang diwariskan oleh Junjungan kita, Nabi Muhammad
SAW kepada para sahabat, tabi’in, tabi’ al-tabi’in, dan para ulama yang
sentiasa prihatin dengan ajaran dan sunnah Rasul-Nya.
Semoga Allah SWT
mengurniakan manfaat yang ada padanya dan mengalirkan kesannya pada hati dan
jiwa kita dengan kedamaian, ketenangan dan kebahagiaan. Ketahuilah, kita kini
umpama berdiri di satu pelabuhan kehidupan, sedang menunggu kapal yang akan
membawa kita ke destinasi terakhir di sebuah dataran besar, iaitu akhirat yang
lebih kekal. Tingkatkan ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya dan carilah apa
yang menyenangkan Allah bagi memungkinkan kita meraih komoditi yang tidak
terbanding nilaiannya. Bahawa kita semua punya harapan untuk Al- Jannah.
Syurga yang tersedia untuk golongan yang benar-benar beriman dan bertaqwa
kepada Allah. Firman Allah S.W.T, Maksudnya:
Wahai
anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan
untuk) pakaian menutup aurat kamu dan pakaian perhiasan dan pakaian yang berupa
takwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda
(limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya
(dan bersyukur). (Surah Al-A’raaf : Ayat 26)
Rabu, 23 November 2011
Walimatul urus..antara kehendak agama dan budaya
Bermulanya cuti sekolah, maka semakin
banyaklah masing masing menerima kad undangan khenduri khawin atau walimatul
urus. Walimatul ‘arus ialah kenduri bagi meraikan atau merayakan pengantin
baru.
Mengadakan majlis walimah adalah sangat
digalakkan dalam Islam. Hukum mengadakan kenduri kahwin ini adalah sunat
muakkad (sangat dituntut) sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Kata Nabi s.a.w. kepada Abdul Rahman
bin Auf sewaktu beliau berkahwin, hendaklah kamu mengadakan kenduri kahwin
sekalipun hanya menyembelih seekor kambing”.
Mengadakan walimah ini bertujuan untuk
mengumumkan pernikahan di samping menggembirakan pengantin yang baru menjejaki
jinjang pelamin dan ia juga sebagai tanda kegembiraan orang tua kerana mendapat
menantu baru. Pengumuman yang sebaik-baiknya ialah majlis perkahwinan yang
diadakan di masjid dan dipukul gendang dan rebana.
Sabda Rasulullah saw:Maksudnya:“Umumkanlah
perkahwinan dan selenggarakanlah di masjid dan pukullah gendang dan rebana pada
hari perkahwinan itu.”
(Riwayat Ahmad dan Tirmizi)
Maka di sini timbullah sebuah persoalan,
iaitu sejauh manakah sebenarnya majlis perkahwinan yang benar-benar dianjurkan
oleh syariat sebagaimana yang ditunjukkan oleh Al-Quran dan As-Sunnah yang
sahih?
Adakah majlis perkahwinan itu perlu
diadakan dengan pelbagai aturcara seperti upacara sarung cincin, persandingan,
iringan muzik, dan sesi mengambil gambar (fotografi)?
Adakah bentuk-bentuk aturcara walimah
seperti ini benar-benar menepati kehendak syariat dan merupakan suatu yang
dibenarkan atau sebaliknya? Sekaligus, adakah tanpa semua upacara tersebut,
majlis walimah menjadi hambar dan tidak meriah?
Dengan memahami yang mana satu
adalah sunnah dan mana satu merupakan tokok tambah (bukan dari anjuran agama),
ia bakal membantu kita semua membezakan di antara keduanya berdasarkan ilmu.
Seterusnya kita akan berupaya menjadikan sebuah majlis perkahwinan kita,
anak-anak kita, dan keluarga baru kita sebagai sebuah majlis yang berhak
mendapat keberkahan dan redha dari Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan
memisahkannya dari apa yang tidak disyari’atkan.
Janganlah mencemarkan kenduri
dengan perkara yang bercanggah dengan syariat Islam. Pergaulan bebas lelaki dan
perempuan, membuka aurat , bersolek dan memakai
wangi-wangian bagi wanita, pertuturan keji dan lucah, mengkhususkan adanya cincin
perkahwinan, adat bersanding dan pelamin, menabur Gula-gula, coklat, dan bunga
, adat merenjis air mawar ,nyanyian dan tarian yang melalaikan,bersalaman
dengan bukan muhrim, senda gurau yang melampau adalah contoh beberapa situasi
yang sering berlaku dalam majlis kenduri kahwin.
Mewajibkan Adanya Duit dan
Barang Hantaran juga adalah merupaka satu amalan dalam masyarakat melayu dengan
mewajibkan pihak lelaki supaya membayar sejumlah wang yang dinamakan sebagai
wang hantaran kepada keluarga pihak perempuan. Kebiasaannya (pada masa ini)
sehingga RM10,000 atau lebih dari itu bergantung kepada status pendidikan atau
pun permintaan wanita yang hendak dinikahi. Nilai wang hantaran ini akan
ditetapkan oleh sama ada bakal isteri atau pihak keluarga bakal isteri. Sekali
imbas, perbuatan ini adalah seakan-akan sebuah perbuatan jual beli wanita. Dan
wang ini akan diserahkan kepada keluarga si isteri.
Dan kemudiannya, kedua-dua pihak
akan saling bertukar barang hantaran tertentu sesama mereka. Di mana mereka
mengkhususkan dengan jumlah bilangan tertentu, seperti 7 dulang dari lelaki
berbalas 10 dulang barangan tertentu dari pihak perempuan.
Ada pun sebenarnya perbuatan ini langsung tidak
pernah ditetapkan oleh Islam, dan perbuatan ini merupakan perbuatan bid’ah
iaitu amalan yang ditokok tambah ke dalam majlis walimah umat Islam. Adalah menjadi suatu yang sunnah
di dalam agama supaya memudahkan urusan pernikahan , tetapi, dengan ditambahnya
amalan-amalan seperti ini, ia hanya akan menyusahkan pasangan yang hendak
berkahwin dan ia sekaligus menggalakkan maksiat sekiranya perkahwinan
ditangguhkan hanya semata-mata disebabkan perkara yang karut ini.
Begitu juga dengan upacara
Memotong Kek Perkahwinan.Perbuatan ini juga bukan berasal dari syariat Islam,
bahkan berasal dari budaya orang kafir dari masyarakat Kristian. Malah ia juga
menyerupai atau mengambil syi’ar kaum Majusi (penyembah api) sekiranya kek
tersebut disertai dengan nyalaan lilin.
Kebanyakan pengantin pula
sanggup berbelanja besar untuk set pakaian,gambar dan pelamin yang mencecah
ribuan ringgit.Di dalam Islam, kita dituntut untuk bersederhana di dalam segala
perkara yang kita laksanakan. Kita juga tidak digalakkan untuk membazir dan
berlebih-lebihan.
Suatu yang kini semakin menjadi
trend di dalam masyarakat Melayu saat ini adalah menetapkan bahawa pasangan
pengantin di ketika majlis perkahwinan mereka mestilah memakai pakaian yang
sedondon seperti memakai pakaian yang sama warnanya dengan pasangan, memakai
pakaian yang mesti dilengkapi dengan tanjak, keris, dan bunga-bungaan. Jika
keadaan tersebut berlaku sebaliknya, di mana pasangan pengantin tidak
mengenakan set pakaian seperti itu, maka mereka pun akan dilihat sebagai janggal
dan diejek sebagai tidak mengenal atau tidak menghormati adat.
Ada pun sebenarnya penetapan seperti ini
adalah termasuk ke dalam perbuatan berlebih-lebihan dan boleh menjurus kepada
larangan agama. Cukuplah sekadar berpakaian dengan pakaian yang melambangkan
akhlak, imej, dan nilai-nilai Islam yang murni. Dan Islam itu bukanlah suatu
agama yang memberat-beratkan umatnya.
Allah s.w.t berfirman:
“Wahai anak Adam, sesungguhnya
Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutup auratmu dan pakaian indah
untuk perhiasan. Dan pakaian taqwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu
adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu
ingat.” (Surah al-A’raaf, 7: 26)
“Sesungguhnya Allah tidak
menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.” (Surah al-A’raaf, 7: 31)
Sesetengah tuan rumah pula sanggup
berhutang untuk memenuhi tuntutan masyarakat dengan mengadakan majlis walimah
secara besar besaran. Bayangkanlah jika jemputan walimah seramai seribu orang,
kos catering untuk satu kepala mungkin menelan belanja sebanyak RM 10, maka
sebanyak sepuluh ribu ringgit terpaksa dikeluarkan. Itu belum lagi kos kos lain
untuk melengkapkan kemeriahan yang hanya menjadi tuntutan budaya dan adat
sahaja..
Pihak tetamu tidak memikirkan bebanan yang
yang ditanggung oleh pihak yang mengadakan majlis. Mereka sanggup berhutang
daripada bank atau kaum keluarga terdekat dalam menyediakan majlis walimah ini.
Semua ini dilakukan supaya majlis walimah yang diadakan setanding dengan majlis
walimah orang lain. Mereka tidak mahu melihat cacat cela dalam majlis yang
diadakan walaupun pada dasarnya mereka kurang berkemampuan.
Pihak majlis juga menyediakan buah tangan
kepada tetamu. Beg berisi gula-gula, telur serta kuih-muih atau makanan ringan
disediakan.Seolah olah menjadi kewajipan dan satu kesalahan jika tidak membei
buah tangan kepada tetamu yang hadir.
Begitu juga dengan kad jemputan yang
pelbagai harga dan bentuk diberikan semasa mengundang tetamu. Kad undangan
terdiri daripada pelbagai harga hanyalah bertujuan memberitahu tarikh, alamat
dan nama pengantin supaya jemputan dapat hadir ke majlis yang diadakan tetapi
kad undangan yang diterima oleh tetamu sebenarnya menggambarkan jumlah
sumbangan yang harus diberikan kepada tuan rumah.Jika mahal kad undangan yang
diterima tetamu ,maka besarlah sumbangannya kepada tuan rumah.
Sebab itulah kebanyakan masyarakat melayu
kini berharap mendapat pulangan yang lumayan hasil daripada sumbangan tetamu
yang hadir ke majlis mereka.Cuba bayangkan jika yang hadir tidak memberi
sumbangan kepada tuan rumah,maka akan ada runggutan dan cerita tentang sikap
tetamu yang tidak memberi sumbangan peribadi.
Selesai sahaja urusan majlis walimah tuan
yang mengadakan walimah sibuk pula membuka sampul yang dihulurkan untuk
menghitung jumlah yang diperolehi untuk membayar segala perbelanjaan yang
dibuat dalam majlis tersebut. Tujuannya supaya hasil kutipan dapat membawa
keuntungan dan membawa pulangan.
Keadaan ini sudah
bertentangan dengan syariat Islam kerana tujuan walimah telah bertukar dari
kenduri kepada berniaga. Situasi inilah yang selalu terjadi dalam masyarakat
kita pada hari ini. Hal ini wujud kerana masyarakat kita kurang berkemampuan
untuk mengadakan majlis walimah tetapi sangat terikut-ikut dengan keadaan
persekitaran, takut dikatakan tidak sama dengan orang lain dan ketinggalan
zaman. Pihak yang mengadakan majlis walimah tidak malu bersalaman dengan tetamu
yang mengharapkan sumbangan dari tetamu tanpa mengira tetamu miskin atau kaya.
Inilah masalah besar yang terjadi dalam masyarakat yang mengadakan majlis
walimah pada hari ini.
Inilah keadaan yang terjadi dalam majlis
walimah kita pada hari. Untuk menjaga status manusia sanggup berbuat apa
sahaja.
Demikianlah beberapa contoh
perkara-perkara mungkar dan tokok tambah yang pada masa ini begitu popular
dilakukan di dalam masyarakat umat Islam Melayu di kebanyakkan majlis-majlis
perkahwinan mereka.
Dengan itu, hendaklah kita
berhati-hati dengan perkara-perkara seperti ini dan sentiasa berusaha dengan
sedaya upaya menjauhinya. Walau bagaimana pun perkara-perkara mungkar seperti
disebutkan berlaku dan dipopularkan sekali pun, ia tetap tidak dibenarkan
menandingi apa yang telah disyariatkan dan dicontohkan oleh Nabi kita, Muhammad
s.a.w. Dan sesungguhnya agama ini telah pun sempurna tanpa perlu ditokok tambah
dengan pelbagai bentuk kehendak citarasa serta nafsu manusia.
Dan suatu yang paling penting di
dalam beragama ini, bukanlah kata-kata dan perbuatan manusia yang menjadi
ukuran, tetapi yang perlu kita tekankan adalah sejauh mana kita teguh di dalam
sebuah pendirian di atas sebuah kebenaran yang ditegakkan di atas dalil-dalil
dari perkataan Allah s.w.t dan petunjuk Rasulullah s.a.w.
“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah
itu contoh tauladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat)
Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak mengingat Allah.” (Surah
al-Ahzaab, 33: 21)
Biarlah masyarakat sekeliling memanggil kita dengan panggilan cerewet atau berkira sekalipun, asalkan kita berpegang kepada Al-Quran dan Hadis, mereka yang mencaci adalah mereka yang jahil mengenai Islam.
Agama hendaklah didahulukan
daripada Budaya, kerana dalam budaya belum pasti ada kebaikan dan kejayaan dari
Allah s.w.t Tuhan Semesta Alam, Budaya adalah rekaan nenek moyang kita semata.
Jangan tertipu dengan kata-kata "Biar mati anak, jangan mati adat" . Ada ketika kita terpaksa
melawan adat, kerana bila beradat kita terpaksa melanggar perintah Tuhan, dan
membuat larangan-Nya.
Bersama-samalah kita mencari
redha dari Allah sebagaimana cara yang telah Dia tunjukkan melalui KitabNya dan
RasulNya. Mulakanlah alam rumahtangga kita di atas keredhaanNya dan hindarilah
dari kemurkaan-Nya.
Selasa, 22 November 2011
Sambutan maal Hijrah dan hari Asyura
Bulan Muharram
adalah salah satu dari 4 bulan yang menjadi bulan kebesaran bagi bangsa arab
sejak zaman jahiliyah lagi. Bahkan Allah SWT telah menambah pada bulan tersebut
dengan kelebihan-kelebihan tertentu kepada umat Islam untuk dinikmati bagi
meningkatkan lagi amal ibadat kepadaNya. Pada bulan ini jugalah diharamkan
peperangan kepada umat Islam sebagai tanda menghormati bulan yang diberi
kelebihan oleh Allah SWT.
Oleh
yang demikian, bulan Muharram turut mempunyai kelebihan disisi Allah SWT.
Disamping bermulanya penghijrahan umat Islam dari Mekah ke Madinah suatu ketika
dahulu, ianya lebih memberi keuntungan kepada mereka yang ikhlas mengerjakan
amal ibadat kepadaNya.
Bulan Muharram merupakan salah satu dari bulan-bulan
'Haram' di dalam Islam. Firman Allah s.w.t. di dalam Surah
al-Taubah ayat 9 bermaksud: "Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi
(hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah
semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang
dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul dan lurus,
maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu
(dengan melanggar laranganNya) dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya
sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya dan ketahuilah sesungguhnya Allah
berserta orang yang bertakwa."
Manakala hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh
Imam al-Bukhari daripada Abu Bakrah pula bermaksud : '… (Satu) tahun itu ada
dua belas bulan, di antaranya ada empat bulan yang dihormati , tiga bulan
berturut-turut iaitu Zulkaedah, Zulhijah, dan Muharram, satu lagi Rejab berada
antara bulan Jamadilakhir dan Syaaban'
Dalam masyarakat melayu di
Malaysia
sambutan awal muharam biasa disambut dengan bacaan doa akhir tahun dan bacaan
doa awal tahun yang seringkali di adakan di masjid masjid atau di surau surau
serta majlis ceramah awal muharam. Amalan ini seperti sudah menjadi suatu
kewajipan untuk dilaksanakan setiap tahun di setiap masjid masjid atau di surau
surau.
Di
setiap organisasi dan institusi seperti di sekolah,universiti dan pelbagai
tempat juga mengadakan majlis sambutan awal muharam atau lebih dikenali dengan
sambutan maal hijrah malah sambutan ini juga diadakan secara besar besaran
bermula diperingkat daerah ,negeri dan juga kebangsaan.
Seperti melakukan suatu kesalahan jika tidak menyambut dan mengadakan majlis
sambutan maal hijrah.
Di samping itu juga masyarakat melayu Malaysia akan
mengadakan sambutan hari asyura yang jatuh pada 10 muharam dengan memasak bubur
asyura. Ini kerana tarikh 10 Muharram (atau dinamakan hari ‘asyura yang
bermaksud sepuluh) mempunyai nilai sejarahnya yang tersendiri. Manakala
disunatkan juga berpuasa pada 9 Muharram sebagai mukhalafah (membezakan)
di antara kaum Yahudi yang turut berpuasa pada 10 Muharram.
Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a katanya: Sewaktu
Rasulullah s.a.w tiba di Madinah, baginda mendapati orang Yahudi berpuasa pada
hari Asyura. Ketika ditanya tentang puasa itu, mereka menjawab: Hari ini adalah
hari kemenangan yang telah diberikan oleh Allah kepada Nabi Musa a.s dan kaum
Bani Israel
dari Firaun. Kami merasa perlu untuk berpuasa pada hari ini sebagai suatu
pengagungan kami padaNya. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Kami lebih berhak
daripada kamu terhadap Nabi Musa dalam hal ini. Kemudian baginda memerintahkan
para Sahabat supaya berpuasa pada hari tersebut. – Hadis diriwayatkan oleh
Imam Bukhari, Muslim, Abu Daud, Ibnu Majah dan al-Tirm
Namun bagaimana pula dengan program membuat bubur asyura
yang sering diadakan oleh masyarakat Melayu? Perlulah dijelaskan bahawa program
membuat bubur tersebut tidak lebih dari program gotong-royong dan jamuan
makan yang sememangnya digalakkan di dalam Islam.
Sebaliknya menjadi
suatu kesalahan sekiranya menganggap bahawa membuat bubur tersebut adalah
sebagai suatu sunnah daripada nabi. Begitu juga dakwaan yang menyatakan bahawa
Nabi Nuh a.s. membuat bubur tersebut apabila turun dari kapal. Ia adalah
satu dakwaan yang tidak bersandarkan kepada hujah yang jelas daripada agama.
Walau
bagaimanapun, amalan di atas tidak sepatutnya diniatkan amalan khusus untuk
dilakukan hanya pada Hari Asyura sahaja'. Kerana ianya sememangnya antara
amalan-amalan yang dituntut supaya dilakukan secara berterusan dan bukan sahaja
dilakukan pada Hari Asyura' atau hari-hari kebesaran tertentu. Dan sekiranya
dikhususkan amalan tersebut hanya pada Hari Asyura' maka, inilah yang dikatakan
bid'ah.
Bahkan sekiranya dilihat pada situasi kini,
masyarakat Islam di Malaysia hanya lebih mementingkan bubur Asyura' dari amal
ibadat yang sepatutnya terlebih utama didahulukan. Perkara ini telah menjadi
adat kebiasaan masyarakat setempat setiap kali tibanya Hari Asyura'. Sedangkan
telah jelas disebut di atas tentang kelebihan dan ganjaran yang akan diperolehi
kepada mereka yang melakukan amal ibadat di bulan ini.
Adalah terlebih
elok sekiranya bubur Asyura' itu dilaksanakan secara bersama-sama disamping
dapat mengeratkan ukhwah Islamiah di dalam masyarakat dan dibahagi-bahagikan
kepada kaum keluarga serta faqir miskin yang lebih memerlukan. Kebajikan
beginilah yang kelak mendapat ganjaran yang tinggi nilainya di sisi Allah SWT.
Tetapi sekiranya ianya dilakukan sekadar mencuba resepi yang baru, maka
jelaslah amalan yang dilaksanakan tersebut sia-sia dan tidak mendapat ganjaran
di sisi Allah SWT.
Ahad, 13 November 2011
Mampukah Subjek pendidikan Islam menyelesaikan masalah disiplin pelajar
Disiplin merupakan sendi yang
mengikat kukuh perhubungan dalam sesebuah masyarakat sehingga dapat menjamin
kewujudan, kestabilan, keamanan dan kesejahteraan di dalam masyarakat tersebut.
Keruntuhan nilai akhlak di dalam sesebuah masyarakat bukan saja menjadi ancaman
kepada kesejahteraan mental individu dalam masyarakat, malah turut menjadi
punca sebenar kepada kemusnahan kerana keruntuhan nilai akhlak akan melemahkan
setiap sendi sesebuah masyarakat . Malah para pengkaji kemasyarakatan Barat
sendiripun menyedari akan sendi-sendi kelemahan ini dan membuat kesimpulan
terhadap keperluan kepada kembali kepada unsur-unsur pemurnian akhlak terutama
sekali melalui agama.
Sungguhpun demikian, realiti
semasa menunjukkan petanda mengenai jurang yang semakin melebar di antara
idealisme kepentingan akhlak dalam konteks pembangunan negara dengan kemelut
sosial yang sedang dihidapi di dalam sesebuah masyarakat. Selain dari
angka-angka penglibatan rakyat Malaysia
secara umum di dalam aktiviti jenayah yang semakin bertambah setiap tahun,
kegerunan terhadap gejala sosial ini semakin membimbangkan melalui kadar
penglibatan golongan belia beragama Islam di dalam kancah tersebut , sekaligus
memberi suatu gambaran tentang gejala kemerosotan nilai akhlak yang sedang
dialami oleh umat Islam di negara ini.
Kesedaran dan
kepekaan pihak-pihak yang berwajib terhadap punca-punca kemerosotan akhlak dan
pentingnya peranan pendidikan didalam membentuk generasi yang berakhlak selari
dengan rentak pembangunan negara tidak dapat dipertikaikan lagi. Pelbagai
dasar, sistem, perancangan strategik dan program yang dilaksanakan dalam amalan
pendidikan di negara ini memberikan gambaran yang jelas terhadap komitmen pihak
kerajaan untuk melahirkan generasi rakyat Malaysia yang memiliki keperibadian
yang mulia dan seimbang. Selaras dengan komitmen tersebut, Kementerian
Pendidikan juga telah menggubal konsep pendidikan bersepadu yang dilaksanakan
melalui Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah dan Kurikulum Bersepadu Sekolah
Menengah bertujuan untuk mencapai hasrat pembentukan “insan yang seimbang dan
harmoni dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan
dan kepatuhan kepada Tuhan”
Masalah disiplin
di kalangan pelajar merupakan sesuatu yang lumrah dalam dunia pendidikan.
Walaupun begitu masalah disiplin tidak boleh dipandang ringan kerana sekolah
merupakan tempat proses pengajaran dan pembelajaran berlaku serta memerlukan
suasana yang kondusif supaya keberkesanan kedua dua proses tersebut berjaya
dimanfaatkan. Namun terdapat pelajar yang melakukan kesalahan disiplin berulang
kali tanpa rasa takut dengan hukuman yang bakal diterima.
Kebanyakan murid
berpandangan bahawa Pendidikan Islam hanyalah salah satu dari mata pelajaran
yang terdapat di sekolah. Bagi pelajar yang beragama Islam, mereka diwajibkan
untuk mengambil mata pelajaran ini. Ramai di antara mereka yang bersungguh-sungguh
menguasai mata pelajaran ini semata-mata untuk memperolehi A di dalam keputusan
peperiksaan. Sedangkan fungsi Pendidikan Islam jauh lebih besar daripada itu.
Apabila sudah begitu perspektif murid terhadap mata pelajaran Pendidikan Islam, mana mungkin akan timbul minat untuk mempelajarinya dengan lebih mendalam. Jauh sekali untuk menghayati pelajaran tersebut. Kesannya apabila tiba giliran mata pelajaran ini, murid-murid tidak melibatkan diri secara aktif di dalam bilik darjah. Hanya segelintir sahaja murid yang mungkin memberikan tumpuan. Tetapi diganggu pula oleh murid-murid lain yang bising di dalam kelas.
Oleh
itu akhlak sebagai satu menifestasi hidup yang luas yang mencakupi kegiatan
menghubungkan manusia dengan Allah, manusia dengan manusia dan manusia dengan
semua makhluk Allah yang lain di dunia ini. Akhlak manusia adalah sangat peka
dan mudah berkesan dengan sebarang tingkah laku sama ada baik ataupun buruk.
Oleh yang demikian Rasulullah sering mengingatkan umatnya tentang mustahaknya
akhlak dibentuk dengan baik.
Namun akibat pengaruh dari barat, media massa dan sebagainya, kita dapat lihat betapa runtuhnya akhlak dalam kalangan murid Islam pada masa kini. Rakan sebaya juga mempengaruhi akhlak pelajar. Sebagai contohnya, pelajar yang mudah terpengaruh akan mudah diajak untuk menimbulkan masalah disiplin samada di dalam bilik darjah atau di sekolah. Contohnya menghisap rokok, meminum arak, menyalahgunakan dadah, merosakkan harta benda sekolah, ponteng kelas, bersembunyi di dalam tandas, Ponteng sekolah , mengancam guru , melanggar peraturan berpakaian, merosakkan harta sekolah, melanggar tatatertib / peraturan sekolah, dan sebagainya lagi.
Oleh itu untuk melahirkan
pelajar yang berdisiplin memerlukan tahap disiplin yang tinggi untuk melalui
proses pengajaran dan pembelajaran. Masalah disiplin sering menjadi perhatian
masyarakat dan terus dibincangkan.Pelbagai cadangan dikemukakan untuk mengatasi
masalah ini. Namun tidak ada satu garis panduan penyelesaian yang berkesan
dalam menanggani pelajar yang tidak berdisiplin.
Namun begitu
kementerian pelajaran telah mengeluarkan pekeliling khusus tentang tatacara
menangani pelajar yang tidak berdisiplin di sekolah. Pihak kementerian
menyedari bahawa tugas mendisiplin pelajar merupakan sesuatu yang berat.
Sebagai guru
Pendidikan Islam, amalan muhasabah diri perlu dilaksanakan. Fungsi dan peranan
dalam membentuk ummah perlu direnung semula. Kegagalan memahami fungsi dan
peranan yang sebenar akan memberi kesan yang amat besar kepada pembentukan
ummah.
Selain itu, guru perlu mengetahui, memahami dan menghayati isi kandungan mata
pelajaran Pendidikan Islam melangkaui batasan sukatan pelajaran, menguasai ilmu
naqliyyah dan ilmu aqliyyah pada tahap yang membanggakan, dan pelbagai lagi.
Guru juga perlu mengetahui dengan luas berkaitan pedagogi dan psikologi
pembelajaran di samping melengkapkan diri dengan kemahiran pengurusan bilik
darjah.
Perkara yang penting juga ialah sebagai seorang pendidik, guru harus mempamerkan sifat-sifat terpuji yang dapat diterima oleh pelajar, masyarakat dan rakan sekerjanya. Antara sifat seorang guru ialah tegas, ramah, suka berjenaka, adil, dedikasi, toleransi, pandangan luas dan dinamik. Sifat dinamik ini perlu dimiliki oleh guru supaya tidak ketinggalan di belakang dalam arus pengetahuan yang semakin berkembang.
Oleh itu guru Pendidikan Islam perlu memahami, menghayati dan berusaha mencapai apa yang digariskan di dalam Falsafah Pendidikan Negara dan Falsafah Pendidikan Islam. Peranannya sebagai penyemai nilai-nilai murni, pembimbing, fasilitator, kaunselor, sebagai contoh teladan, hakim dalam memberi hukuman sewajarnya kepada pelajar-pelajarnya perlu diambil perhatian yang sewajarnya dengan lebih berat lagi.
Jadi di sini,
nampak bahawa guru perlu memainkan peranan yang penting. Guru perlu menerangkan
hakikat Pendidikan Islam di sekolah di mana ia mempunyai dua tujuan besar iaitu
untuk memberi pengetahuan agama Islam kepada pelajar sebagai satu pelajaran
untuk tujuan peperiksaan dan peranan paling besar ialah untuk membimbing murid
sekolah agar menghayati agama Islam untuk tujuan amalan dan penghayatan. Jadi,
selain pelajar menguasai fakta-fakta untuk tujuan peperiksaan, mereka juga
harus dibimbing untuk mengamal dan menghayati agama Islam. Tugas kedua ini
adalah sesuatu yang tersirat dalam tugas guru Pendidikan Islam. Ini harus
disedari oleh semua guru Pendidikan Islam kerana tugas mereka tidak hanya
terhad kepada memberi pengetahuan agama sahaja sebagaimana yang digariskan
dalam sukatan pelajaran tetapi juga menanam minat dan cinta terhadap agama yang
menjadi pegangan hidup mereka.
Kesimpulan
Pendidikan Islam
adalah satu usaha atau proses mengajar, mengasuh, mendidik dan mengembangkan
potensi individu dari segi aqli, rohani, jasmani dan emosi supaya menjadi insan
seimbang yang mampu untuk membangun diri, keluarga dan masyarakat berdasarkan
ajaran Islam, di samping itu ia juga berusaha untuk mendapat kebahagiaan hidup
di dunia dan kesejahteraan hidup di akhirat. Oleh itu mata pelajaran Pendidikan
Islam ini bukan sahaja mata pelajaran di sekolah, tetapi satu proses pembentukan manusia
berdasarkan ajaran Islam. Ia juga bermaksud sistem yang bersumberkan wahyu,
iaitu satu sumber yang sempurna untuk mendidik manusia bagi mencapai
kebahagiaan dunia dan akhirat.
Tujuannya ialah melahirkan muslim yang soleh,
yang dapat membangun diri, keluarga dan masyarakat ke arah yang diredhai Allah.
Guru pendidikan Islam pula memainkan peranan yang lebih berat. Amanah Allah yang dipikul, hasrat negara yang
terbeban di bahu, harapan dari pihak sekolah, kepercayaan yang diberikan oleh
ibu bapa, masyarakat yang sentiasa mengharapkan sesuatu yang baik di dalam
pendidikan dan sebagainya lagi menjadikan tugas ini semakin rumit. Seorang
pendidik itu perlu berperanan sebagai seorang orang tua yang baik, memiliki
sifat kasih sayang, adil dan memiliki ilmu yang mendalam. Guru juga perlu
mempunyai hubungan yang harmoni dengan ibu bapa dan pelajar serta bijak
mengurus bilik darjah. Namun tugas pendidik bukan hanya terhad di dalam kelas
sahaja, tetapi berterusan memantau pelajar walau di mana mereka.
Namun sebagai guru Pendidikan Islam, kita harus berpegang kepada firman Allah mafhumnya, setiap kesulitan itu akan ada kemudahan. Sifat ikhlas dan zuhud iaitu melakukan sesuatu demi mencari keredhaan Allah perlu ada dalam diri setiap guru.
Langgan:
Catatan (Atom)