Ahad, 6 November 2011

Apabila Ibadat Qurban menjadi Budaya

Assalamualaikum Alhamdulillah,Hari Raya AidilAdha 1432 Hijrah telah dirayakan pada 6 November 2011.Aidil Adha adalah lambang pengabdian kepada Allah SWT.Kerana itu Aidil Adha hendaklah disambut dengan solat sunat Adil Adha,bertakbir,bertahmid,bertasbih,bertahlil dan menyembelih binatang ternakan sebagi lambang pengabdian kepada Allah. Maka Aidil Adha hendaklah dirayakan dengan rasa syukur,gembira dan tekatwaan selaras dengan konsep qurban yang mengasuh kita untuk sentiasa berkorban apa sahaja khususnya untuk Aganma Islam dan melatih kita menjadi seorang yang pemurah,berkasih sayang dan taat kepada Allah.


Menyembelih binatang qurban merupakan ibadah mulia yang sangat dianjurkan agama kita. Banyak hikmah pada penyembelihan binatang qurban seperti dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT, mengikuti sunnah Nabi Ibrahim AS yang dikenal sebagai bapa para nabi dan rasul-Nya, menunjukkan rasa syukur kepada Allah SWT, dan meningkatkan hubungan sosial. Aspek kemanusiaan pada ibadat qurban adalah paling jelas didapati.

Namun amalan ini akan hilang nilainya dihadapan Allah SWT jika ia tidak dilaksanakan atas dasar iman dan taqwa kepada Allah SWT.Ia perlu dilakukan dengan redha dan ikhlas,bukan hanya sekadar mencari popularity,ingin dipuji dan disanjung kerana yang akan sampai kepada Allah SWT bukanlah darah dan dagingnya tetapi ketaqwaan. Allah S.W.T.telah berfirman dalam Surah Al-Haj ayat 37 : Maksudnya: "Daging dan darah binatang korban atau hadiah tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yan sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas berdasarkan taqwa dari kamu".

Pembahagian daging qurban mengandungi makna sebagai cara untuk mendekatkan hubungan antara sesama manusia malah ia merupakan alat penghubung yang dilandasi rasa kemanusiaan sehingga boleh menimbulkan rasa kasih sayang dan simpati sesama manusia.

Oleh itu apabila dilihat dalam masyarakat melayu sekarang tentang amalan melaksnakan ibadat qurban ini,masing masing mempunyai cara yang tersendiri,namun yang menimbulkan persoalan ialah apabila ibadat qurban ini dilakukan hanya semata mata untuk menyempurnakan amalan tradisi yang menjadi budaya apabila datangnya Aidil adha.

Sering kita mendengar mengenai beri daging qurban kepada tukang sembelih sebagai upah kerja,sedangkan perbuatan itu adalah bertentangan dengan syarak. Begitu juga kepada mereka yang menempah dahulu sebahagian anggota seperti ekor lembu dan sebagainya sebagai satu upah kerja mereka.

Ada juga yang melakukan amalan ini di rumah masing masing dan menyediakan masakan dari daging qurban ini melebihi satu pertiga sedangkan kita harus mengagihkan daging qurban ini sepertiga iaitu diberikan kepada fakir miskin,kepada jiran dan sahabat handai dan sebahagiannya dimasak untuk dimakan bersama sama.

Ada sesetengah tempat pula kecoh berebut daging sedangkan ia hanyalah aspek sampingan dan bukan matlamat utama korban. Kadangkala kala ada orang lain yang datang untuk meminta daging qurban tetapi tidak dapat hanya tidak mempunyai kupon sedang kan masih banyak lagi bekalan daging yang tersedia.

Malah ada segelintir masyarakat mempertikaikan apabila tidak mendapat daging qurban sedangkan mereka bukan dari golongan keluarga susah atau fakir miskin serta asnaf yang layak menerima.

Bagi daging korban sunat pula, adalah Sunat bagi orang yang empunya korban memakan sebahagian daripadanya sebagaimana firman Allah Ta'ala dalam Surah al-Haj ayat 28: Maksudnya : "….Maka makanlah daripadanya dan beri makanlah kepada orang-orang yang sangat fakir. Wajib disedekahkan sebahagian daripada daging-daging korban sunat itu kepada golongan fakir dan miskin yang beragama Islam dalam keadaan mentah lagi basah (belum dimasak).

Adalah Afdhal jika yang empunya korban itu hanya mengambil sedikit daripada daging korban berkenaan manakala sebahagian besar daripadanya disedekahkan.

Terdapat juga juga amalan amalan masyarat melayu yang tidak mahu melakukan amalan qurban ini hanya warna binatang qurban itu tidak cerah dan mestilah jantan Bagi mereka adalah tidak sah binatang yang mempunyai warna yang gelap dan binatang betina sedangkan antara syarat sah penyembelihan binatang qurban ialah haiwan yang hendak diqurbankan itu hendaklah dalam keadaan sempurna tanpa ada kecacatan yang nyata tanpa ada kecacatan yan nyata dan mengurangkan daging atau memudaratkan kesihatan.

Ada juga masyarakat yang beranggapan bahawa amalan berqurban ini hanya perlu dilakukan sekali sahaja dalam seumur hidup ,sama seperti amalan aqiqah.bagi mereka tidak ada bezanya amalan qurban dengan aqiqah sedangkan setiap individu dalam sesebuah keluarga Islam disunatkan untuk melakukan qurban sekurang kurangnya satu bahagian setiap tahun sekiranya mampu.

Disamping itu juga kita lihat ada golongan yang juga ghairah pula nak berkorban setiap tahun sedangkan mereka sendiri engkar kepada Allah swt.. Mana mungkin satu hari kamu menghina hukum Allah swt dan pada hari yang lain pula cuba nak buat baik pada Allah.

Kita hanya diminta berkorban sedikit duit ringgit sahaja, dan mungkin sedikit masa dan tenaga dalam menjayakan majlis korban ini. Itu saja, tidak lebih dari itu. Kita belum lagi diminta mengorbankan separuh atau seluruh harta kita, atau pengorbanan nyawa dan jiwa kita. Malangnya, dengan pengorbanan yang sikit ini pun, matlamat menuntut keredhaan Allah swt itu pun dah lari, bagaimana untuk membuat pengorbanan dari seorang muslim yang lebih besar lagi ?

Inilah akibatnya apabila tuntutan Islam itu dilaksanakan mengikut faham sendiri, atau sebagai adat kebiasaan sahaja dan bukan berasaskan kefahaman Islam sebenar. Akhirnya ibadat qurban menjadi majlis sembelih lembu dan majlis makan sahaja...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan