Disiplin merupakan sendi yang
mengikat kukuh perhubungan dalam sesebuah masyarakat sehingga dapat menjamin
kewujudan, kestabilan, keamanan dan kesejahteraan di dalam masyarakat tersebut.
Keruntuhan nilai akhlak di dalam sesebuah masyarakat bukan saja menjadi ancaman
kepada kesejahteraan mental individu dalam masyarakat, malah turut menjadi
punca sebenar kepada kemusnahan kerana keruntuhan nilai akhlak akan melemahkan
setiap sendi sesebuah masyarakat . Malah para pengkaji kemasyarakatan Barat
sendiripun menyedari akan sendi-sendi kelemahan ini dan membuat kesimpulan
terhadap keperluan kepada kembali kepada unsur-unsur pemurnian akhlak terutama
sekali melalui agama.
Sungguhpun demikian, realiti
semasa menunjukkan petanda mengenai jurang yang semakin melebar di antara
idealisme kepentingan akhlak dalam konteks pembangunan negara dengan kemelut
sosial yang sedang dihidapi di dalam sesebuah masyarakat. Selain dari
angka-angka penglibatan rakyat Malaysia
secara umum di dalam aktiviti jenayah yang semakin bertambah setiap tahun,
kegerunan terhadap gejala sosial ini semakin membimbangkan melalui kadar
penglibatan golongan belia beragama Islam di dalam kancah tersebut , sekaligus
memberi suatu gambaran tentang gejala kemerosotan nilai akhlak yang sedang
dialami oleh umat Islam di negara ini.
Kesedaran dan
kepekaan pihak-pihak yang berwajib terhadap punca-punca kemerosotan akhlak dan
pentingnya peranan pendidikan didalam membentuk generasi yang berakhlak selari
dengan rentak pembangunan negara tidak dapat dipertikaikan lagi. Pelbagai
dasar, sistem, perancangan strategik dan program yang dilaksanakan dalam amalan
pendidikan di negara ini memberikan gambaran yang jelas terhadap komitmen pihak
kerajaan untuk melahirkan generasi rakyat Malaysia yang memiliki keperibadian
yang mulia dan seimbang. Selaras dengan komitmen tersebut, Kementerian
Pendidikan juga telah menggubal konsep pendidikan bersepadu yang dilaksanakan
melalui Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah dan Kurikulum Bersepadu Sekolah
Menengah bertujuan untuk mencapai hasrat pembentukan “insan yang seimbang dan
harmoni dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan
dan kepatuhan kepada Tuhan”
Masalah disiplin
di kalangan pelajar merupakan sesuatu yang lumrah dalam dunia pendidikan.
Walaupun begitu masalah disiplin tidak boleh dipandang ringan kerana sekolah
merupakan tempat proses pengajaran dan pembelajaran berlaku serta memerlukan
suasana yang kondusif supaya keberkesanan kedua dua proses tersebut berjaya
dimanfaatkan. Namun terdapat pelajar yang melakukan kesalahan disiplin berulang
kali tanpa rasa takut dengan hukuman yang bakal diterima.
Kebanyakan murid
berpandangan bahawa Pendidikan Islam hanyalah salah satu dari mata pelajaran
yang terdapat di sekolah. Bagi pelajar yang beragama Islam, mereka diwajibkan
untuk mengambil mata pelajaran ini. Ramai di antara mereka yang bersungguh-sungguh
menguasai mata pelajaran ini semata-mata untuk memperolehi A di dalam keputusan
peperiksaan. Sedangkan fungsi Pendidikan Islam jauh lebih besar daripada itu.
Apabila sudah begitu perspektif murid terhadap mata pelajaran Pendidikan Islam, mana mungkin akan timbul minat untuk mempelajarinya dengan lebih mendalam. Jauh sekali untuk menghayati pelajaran tersebut. Kesannya apabila tiba giliran mata pelajaran ini, murid-murid tidak melibatkan diri secara aktif di dalam bilik darjah. Hanya segelintir sahaja murid yang mungkin memberikan tumpuan. Tetapi diganggu pula oleh murid-murid lain yang bising di dalam kelas.
Oleh
itu akhlak sebagai satu menifestasi hidup yang luas yang mencakupi kegiatan
menghubungkan manusia dengan Allah, manusia dengan manusia dan manusia dengan
semua makhluk Allah yang lain di dunia ini. Akhlak manusia adalah sangat peka
dan mudah berkesan dengan sebarang tingkah laku sama ada baik ataupun buruk.
Oleh yang demikian Rasulullah sering mengingatkan umatnya tentang mustahaknya
akhlak dibentuk dengan baik.
Namun akibat pengaruh dari barat, media massa dan sebagainya, kita dapat lihat betapa runtuhnya akhlak dalam kalangan murid Islam pada masa kini. Rakan sebaya juga mempengaruhi akhlak pelajar. Sebagai contohnya, pelajar yang mudah terpengaruh akan mudah diajak untuk menimbulkan masalah disiplin samada di dalam bilik darjah atau di sekolah. Contohnya menghisap rokok, meminum arak, menyalahgunakan dadah, merosakkan harta benda sekolah, ponteng kelas, bersembunyi di dalam tandas, Ponteng sekolah , mengancam guru , melanggar peraturan berpakaian, merosakkan harta sekolah, melanggar tatatertib / peraturan sekolah, dan sebagainya lagi.
Oleh itu untuk melahirkan
pelajar yang berdisiplin memerlukan tahap disiplin yang tinggi untuk melalui
proses pengajaran dan pembelajaran. Masalah disiplin sering menjadi perhatian
masyarakat dan terus dibincangkan.Pelbagai cadangan dikemukakan untuk mengatasi
masalah ini. Namun tidak ada satu garis panduan penyelesaian yang berkesan
dalam menanggani pelajar yang tidak berdisiplin.
Namun begitu
kementerian pelajaran telah mengeluarkan pekeliling khusus tentang tatacara
menangani pelajar yang tidak berdisiplin di sekolah. Pihak kementerian
menyedari bahawa tugas mendisiplin pelajar merupakan sesuatu yang berat.
Sebagai guru
Pendidikan Islam, amalan muhasabah diri perlu dilaksanakan. Fungsi dan peranan
dalam membentuk ummah perlu direnung semula. Kegagalan memahami fungsi dan
peranan yang sebenar akan memberi kesan yang amat besar kepada pembentukan
ummah.
Selain itu, guru perlu mengetahui, memahami dan menghayati isi kandungan mata
pelajaran Pendidikan Islam melangkaui batasan sukatan pelajaran, menguasai ilmu
naqliyyah dan ilmu aqliyyah pada tahap yang membanggakan, dan pelbagai lagi.
Guru juga perlu mengetahui dengan luas berkaitan pedagogi dan psikologi
pembelajaran di samping melengkapkan diri dengan kemahiran pengurusan bilik
darjah.
Perkara yang penting juga ialah sebagai seorang pendidik, guru harus mempamerkan sifat-sifat terpuji yang dapat diterima oleh pelajar, masyarakat dan rakan sekerjanya. Antara sifat seorang guru ialah tegas, ramah, suka berjenaka, adil, dedikasi, toleransi, pandangan luas dan dinamik. Sifat dinamik ini perlu dimiliki oleh guru supaya tidak ketinggalan di belakang dalam arus pengetahuan yang semakin berkembang.
Oleh itu guru Pendidikan Islam perlu memahami, menghayati dan berusaha mencapai apa yang digariskan di dalam Falsafah Pendidikan Negara dan Falsafah Pendidikan Islam. Peranannya sebagai penyemai nilai-nilai murni, pembimbing, fasilitator, kaunselor, sebagai contoh teladan, hakim dalam memberi hukuman sewajarnya kepada pelajar-pelajarnya perlu diambil perhatian yang sewajarnya dengan lebih berat lagi.
Jadi di sini,
nampak bahawa guru perlu memainkan peranan yang penting. Guru perlu menerangkan
hakikat Pendidikan Islam di sekolah di mana ia mempunyai dua tujuan besar iaitu
untuk memberi pengetahuan agama Islam kepada pelajar sebagai satu pelajaran
untuk tujuan peperiksaan dan peranan paling besar ialah untuk membimbing murid
sekolah agar menghayati agama Islam untuk tujuan amalan dan penghayatan. Jadi,
selain pelajar menguasai fakta-fakta untuk tujuan peperiksaan, mereka juga
harus dibimbing untuk mengamal dan menghayati agama Islam. Tugas kedua ini
adalah sesuatu yang tersirat dalam tugas guru Pendidikan Islam. Ini harus
disedari oleh semua guru Pendidikan Islam kerana tugas mereka tidak hanya
terhad kepada memberi pengetahuan agama sahaja sebagaimana yang digariskan
dalam sukatan pelajaran tetapi juga menanam minat dan cinta terhadap agama yang
menjadi pegangan hidup mereka.
Kesimpulan
Pendidikan Islam
adalah satu usaha atau proses mengajar, mengasuh, mendidik dan mengembangkan
potensi individu dari segi aqli, rohani, jasmani dan emosi supaya menjadi insan
seimbang yang mampu untuk membangun diri, keluarga dan masyarakat berdasarkan
ajaran Islam, di samping itu ia juga berusaha untuk mendapat kebahagiaan hidup
di dunia dan kesejahteraan hidup di akhirat. Oleh itu mata pelajaran Pendidikan
Islam ini bukan sahaja mata pelajaran di sekolah, tetapi satu proses pembentukan manusia
berdasarkan ajaran Islam. Ia juga bermaksud sistem yang bersumberkan wahyu,
iaitu satu sumber yang sempurna untuk mendidik manusia bagi mencapai
kebahagiaan dunia dan akhirat.
Tujuannya ialah melahirkan muslim yang soleh,
yang dapat membangun diri, keluarga dan masyarakat ke arah yang diredhai Allah.
Guru pendidikan Islam pula memainkan peranan yang lebih berat. Amanah Allah yang dipikul, hasrat negara yang
terbeban di bahu, harapan dari pihak sekolah, kepercayaan yang diberikan oleh
ibu bapa, masyarakat yang sentiasa mengharapkan sesuatu yang baik di dalam
pendidikan dan sebagainya lagi menjadikan tugas ini semakin rumit. Seorang
pendidik itu perlu berperanan sebagai seorang orang tua yang baik, memiliki
sifat kasih sayang, adil dan memiliki ilmu yang mendalam. Guru juga perlu
mempunyai hubungan yang harmoni dengan ibu bapa dan pelajar serta bijak
mengurus bilik darjah. Namun tugas pendidik bukan hanya terhad di dalam kelas
sahaja, tetapi berterusan memantau pelajar walau di mana mereka.
Namun sebagai guru Pendidikan Islam, kita harus berpegang kepada firman Allah mafhumnya, setiap kesulitan itu akan ada kemudahan. Sifat ikhlas dan zuhud iaitu melakukan sesuatu demi mencari keredhaan Allah perlu ada dalam diri setiap guru.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan